NARATHIWAT (THAILAND): Dua buah kenderaan milik Kerajaan Malaysia yang dilarikan oleh sekumpulan lelaki Ahad lalu, dikesan berada sekitar kawasan Sungai Golok dekat sini, petang ini.
Pengesahan itu berpandukan nombor pendaftaran yang tertera pada kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Fortuner dan trak pikap Mitsubishi Triton. Kedua-dua kenderaan itu milik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tanah Merah, Kelantan.
Sumber Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, kedua-dua kenderaan itu dikesan memasuki negara ini melalui Pusat Pemeriksaan Kastam Sungai Golok.
Katanya, berpandukan kepada maklumat yang diperoleh, lima lelaki bertopeng dan bersenjata melarikan kedua-dua kenderaan itu.
“Susulan itu, pihak berkuasa mengeluarkan amaran berkenaan dua kenderaan curi itu kerana bimbang ia mungkin digunakan untuk tujuan keganasan di wilayah sempadan selatan.
“Berpandukan maklumat yang diperoleh menunjukkan kedua-dua kenderaan berkenaan diletakkan di Daerah Waeng, sebelum dipindahkan ke Daerah Sukhirin. Kedua-duanya di Wilayah Narathiwat,” kataya ketika dihubungi di sini.
Sumber memberitahu, situasi menunjukkan kenderaan tersebut mungkin bertujuan digunakan sebagai bom kereta atau untuk menyebabkan pergolakan.
“Kebetulan hari ini Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul akan mengadakan lawatan rasmi ke Wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani. Semua agensi penguat kuasa di ketiga-tiga wilayah berkenaan telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga khususnya di zon ekonomi,” ujarnya.
Sumber itu berkata, kedua-dua kenderaan itu mungkin telah diubah suai untuk digunakan oleh kumpulan pemisah bagi mencetuskan keganasan.
Katanya, pihak berkuasa telah mengarahkan semua unit penguatkuasaan untuk berjaga-jaga terhadap kedua-dua kenderaan yang sepadan, terutama di kawasan berisiko tinggi.
“Arahan juga dikeluarkan supaya melakukan pemeriksaan rapi terhadap kenderaan dari Malaysia yang mencurigakan,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan pisau melarikan dua buah trak pikap milik pejabat JKM Tanah Merah. – UTUSAN










