KUALA LUMPUR: Ibu bapa dan penjaga diingatkan supaya lebih bertanggungjawab serta peka terhadap kewajipan mendaftarkan kelahiran anak masing-masing bagi mengelak masalah dokumentasi pada masa hadapan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun statistik menunjukkan trend penurunan, jumlah kes pendaftaran lewat kelahiran yang direkodkan setiap tahun masih berada pada tahap yang signifikan.
Katanya, sebanyak 13,474 kes pendaftaran lewat kelahiran direkodkan pada 2023, diikuti 12,363 kes pada 2024 dan 10,537 kes tahun lalu, manakala bagi tahun 2026 setakat 31 Mac, sebanyak 1,970 kes dicatatkan.
“Angka antara 10,000 hingga 13,000 kes setahun ini menunjukkan secara purata kira-kira 1,000 kelahiran sebulan tidak didaftarkan dalam tempoh yang ditetapkan undang-undang.
“Bagi daftar lewat kad pengenalan pula, sebanyak 6,302 kes dicatatkan pada tahun 2022, diikuti 4,250 kes pada 2023; 4,150 kes pada 2024; 5,032 kes pada 2025 dan 1,355 kes bagi tahun 2026 setakat 31 Mac.
“Setiap permohonan diputuskan berdasarkan penilaian Jawatankuasa Panel yang meneliti secara terperinci pembuktian serta dokumen sokongan yang dikemukakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Dokumentasi Inisiatif Mekar Didik dan Program Kaunter Lorong, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, ibu bapa perlu memahami tanggungjawab tersebut kerana kegagalan berbuat demikian akan memberi kesan jangka panjang kepada anak-anak khususnya berkaitan akses kepada bantuan kerajaan yang memerlukan MyKad.
“Kita memohon sangat-sangat supaya ibu bapa faham tanggungjawab ini. Jika tidak diperbetulkan sekarang, anak-anak ini akan berdepan masalah pada masa hadapan,” katanya.
Tambah beliau, pendaftaran kelahiran wajib dibuat dalam tempoh 60 hari bagi Semenanjung, manakala 40 hari bagi Sabah dan Sarawak.
Katanya, isu pendaftaran lewat tidak sepatutnya berlaku memandangkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mempunyai 212 pejabat di seluruh negara selain pelaksanaan program outreach seperti Mekar Didik yang dilaksanakan sepanjang tahun termasuk di kawasan pedalaman bagi memudahkan urusan pendaftaran.
“Justeru, tiada isu berkaitan kawasan pedalaman atau kekangan kewangan yang sepatutnya menghalang pendaftaran. Ibu bapa juga diingatkan supaya bertanggungjawab mendaftarkan perkahwinan.
“Hasil siasatan mendapati antara punca keciciran dokumen dalam kalangan kanak-kanak dan pelajar adalah berpunca daripada perkahwinan ibu bapa yang tidak teratur serta masalah sosial yang menyebabkan sebahagian kanak-kanak tidak memiliki dokumen sah sejak kecil,” katanya.
Sementara itu, JPN juga telah berjaya menyelesaikan kira-kira 12,101 kes keciciran dokumen murid di seluruh negara.
Beliau berkata, ia merupakan hasil momentum positif yang konsisten dan melalui kerjasama erat antara agensi serta kesedaran tinggi ibu bapa.
Katanya, dalam keseluruhan 12,101 kes yang diproses, semua keputusan telah dibuat dengan sebahagian disahkan sebagai warganegara dan sebahagian lagi bukan warganegara.
“Bagi yang disahkan warganegara, dokumen seperti sijil lahir, MyKid dan MyKad diberikan mengikut peruntukan undang-undang.
“Terdapat juga kes melibatkan perkahwinan tidak didaftarkan, contohnya bapa warganegara Malaysia dan ibu warga asing.
“Dalam situasi ini, pasangan perlu mendaftarkan perkahwinan terlebih dahulu sebelum dokumen anak dapat diproses,” katanya. – UTUSAN










