Anggota pengiring terlibat kes pukul pemandu e-hailing OKU diambil tindakan tatatertib- KPN - Utusan Malaysia

Anggota pengiring terlibat kes pukul pemandu e-hailing OKU diambil tindakan tatatertib- KPN

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil tindakan tatatertib terhadap anggota pengiring dipercayai memukul seorang pemandu e-hailing kelainan upaya (OKU) dipercayai di lobi sebuah hotel di ibu negara, 28 Mei lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan, pihak Jabatan Integriti dan Pemantuhan Standard (JIPS) Bukit Aman telah mengambil tindakan dalaman terhadap anggota pengiring terbabit.

“Siasatan telah dibuat pada Jun lalu dan tindakan tatatertib telah diambil oleh JIPS Bukit Aman,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ketika diminta mengulas berhubung perkembangan kertas siasatan, beliau berkata, kertas siasatan yang dihantar pada pejabat Peguam Negara pada 5 Jun lalu telah dikembalikan semula pada pihak polis.

“Bagaimanapun, kita telah menghantar semula ke pejabat AGC selepas mendapat arahan siasatan lanjut pada 22 Julai lalu, “katanya.

Terdahulu, pemandu OKU e-hailing yang mendakwa diserang anggota pengiring orang kenamaan mendedahkan rakaman kamera kejadian pada Mei lalu.

Peguamnya, N. Surendran dilaporkan berkata, tiada sebarang tindakan lanjut walaupun kira-kira dua bulan kertas siasatan tersebut didakwa telah diserahkan kepada AGC.

Dia turut melahirkan kekecewaan kerana bukti adalah jelas.

“Kita juga telah menulis surat dua kali kepada AGC, namun sehingga kini, tiada siapa yang diheret ke muka pengadilan,” katanya.

Dalam rakaman video satu minit 30 saat itu, Ong Ing Keong dilihat berada di dalam kereta sepanjang kejadian itu sambil menunggu pelanggannya meletakkan beg mereka di belakang kereta.

Bagaimanapun, tiba-tiba muncul seorang lelaki berpakaian sut mengetuk cermin kereta sambil mengarahkannya supaya bergerak.

Pemandu e-hailing pekak itu menggunakan bahasa isyarat cuba memberitahu lelaki bersut itu bahawa dia sedang menunggu penumpang yang masih di luar keretanya.

Beberapa saat selepas itu, seorang lagi lelaki berpakaian sut tiba-tiba muncul di sebelah tingkap tempat duduk pemandu dan melemparkan satu tumbukan kepada pemandu OKU itu.

5 Jun lalu, Razarudin dilaporkan berkata, pihaknya telah menghantar kertas siasatan kes OKU didakwa dipukul anggota pengiring orang kenamaan pada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Katanya, seramai 12 individu termasuk mangsa, pekerja hotel dan pegawai juruiring telah dipanggil bagi membantu siasatan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN