KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) penugasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya melibatkan konvoi berskala besar akan terus diperkemas bagi memastikan tahap keselamatan pegawai dan anggota sentiasa berada pada tahap terbaik.
Ketua Polis Negara, Mohd. Khalid Ismail berkata, pelbagai penambahbaikan terhadap aspek logistik dan kelengkapan anggota terus dilaksanakan dari semasa ke semasa termasuk penggunaan aset serta kenderaan baharu.
Katanya, peningkatan SOP dan peraturan yang ditetapkan diharap mengurangkan kemalangan bukan sahaja ketika bertugas tetapi juga semasa berada di jalan raya.
“Kita mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat. Kerajaan juga telah menyalurkan peruntukan untuk mempertingkatkan peralatan serta logistik termasuk kenderaan baharu yang saya percaya mampu memberi semangat lebih tinggi kepada semua petugas PDRM,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penutup Dialog Khas PDRM V 2026 di sini, hari ini.
Ditanya mengenai kebajikan keluarga mangsa terlibat, beliau berkata, setakat ini semua bantuan termasuk keperluan insurans telah disalurkan dengan baik dan sempurna.
“Jika masih ada kekurangan, keluarga boleh berhubung dengan ketua polis negeri masing-masing. Setakat ini segala bantuan keperluan telah kita laksanakan,” katanya.
Beliau berkata, aspek keselamatan anggota dan pegawai akan terus menjadi keutamaan PDRM dengan memastikan semua pihak mematuhi SOP yang ditetapkan ketika menjalankan tugas.
Dalam kejadian pada pukul 9 pagi 13 Mei lalu, kenderaan membawa 18 anggota FRU Unit 5 Sungai Senam dirempuh lori muatan batu yang didakwa mengalami kegagalan fungsi stereng.
Kemalangan itu mengakibatkan lapan anggota FRU maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Teluk Intan.
Kemalangan itu berlaku ketika trak dinaiki kesemua mangsa bersama enam kenderaan FRU dalam konvoi perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan perayaan Chitra Pournami di daerah Hilir Perak. – UTUSAN










