BEIJING: Pihak berkuasa China didakwa sudah mengetahui sejak awal bahawa nahas sebuah pesawat China Eastern Airlines yang mengorbankan kesemua 132 orang pada Mac 2022 adalah berpunca daripada tindakan oleh juruterbangnya dengan sengaja, namun memilih untuk merahsiakan maklumat tersebut.
Butiran terbaharu yang diterbitkan oleh Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Amerika Syarikat (AS) mengesahkan syak wasangka yang selama ini menghantui dunia penerbangan antarabangsa.
Berdasarkan data yang diekstrak daripada kotak hitam, pesawat Boeing 737 itu telah dipaksa menjunam secara menegak ke kawasan pergunungan di wilayah Guangxi.
Antara penemuan mengejutkan dalam laporan tersebut, semasa berada di ketinggian 8,839 meter, suis bahan api pada kedua-dua enjin telah dimatikan secara manual. Data turut menunjukkan berlaku pergelutan antara dua juruterbang di dalam kokpit pesawat.
Graf yang didedahkan NTSB menunjukkan pergerakan bertentangan pada kawalan, menandakan salah seorang kru cuba menyelamatkan pesawat.
Ia berlaku ketika seorang lagi terus memaksa pesawat menjunam.
Selain itu, tiada sebarang panggilan kecemasan atau kod transponder kecemasan dihantar oleh kru sebelum nahas berlaku.
NTSB dilaporkan telah menyerahkan penemuan ini kepada China hanya dua minggu selepas kotak hitam ditemukan pada 2022, namun Beijing didakwa menghalang penyebaran maklumat tersebut atas alasan ‘keselamatan nasional dan kestabilan sosial’.
Pendedahan ini hanya terbit kepada umum selepas seorang warganegara China mengemukakan permohonan di bawah undang-undang kebebasan maklumat di AS.
Video dari darat yang tular sebelum ini merakam detik mengerikan pesawat itu menjunam hampir menegak dari langit, selari dengan penemuan data terbaharu itu. – AGENSI










