WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata pada Rabu bahawa Presiden China, Xi Ping bersetuju untuk tidak menghantar senjata kepada Iran.
Trump berkata, beliau turut menerima jaminan peribadi daripada Jinping berhubung perkara itu.
“Mereka (China) telah bersetuju untuk tidak menghantar senjata kepada Iran. Presiden Xi (Jinping) akan memberi saya pelukan besar apabila saya tiba di sana dalam beberapa minggu lagi,” tulis Trump di Truth Social, merujuk kepada sidang kemuncak yang dirancang pada 14 hingga 15 Mei di Beijing.
Trump memberitahu hos Fox Business, Maria Bartiromo, dalam satu wawancara berasingan yang disiarkan pada Rabu bahawa Jinping pada asasnya telah berjanji untuk tidak menghantar senjata.
“Saya ada mendengar bahawa China membekalkan senjata kepada, maksud saya, anda melihatnya di merata tempat kepada Iran,” kata Trump.
“Saya menulis surat kepadanya meminta supaya perkara itu tidak dilakukan dan beliau membalas surat kepada saya. Pada asasnya (Jinping) menyatakan bahawa beliau tidak berbuat demikian,” tambahnya.
Konflik di Asia Barat telah menambahkan ketegangan kepada hubungan yang sememangnya rumit antara dua kuasa ekonomi terbesar dunia itu.
Sidang kemuncak Trump-Jinping pada asalnya dijadualkan pada bulan Mac tetapi ditangguhkan berikutan keputusan presiden AS itu untuk melancarkan perang.
China pada Selasa menuduh Amerika bertindak secara berbahaya dan tidak bertanggungjawab berhubung sekatan terhadap pelabuhan-pelabuhan Iran di Selat Hormuz.
Jinping berikrar bahawa Beijing akan memainkan peranan yang membina dalam menggalakkan keamanan di Asia Barat..
Dalam hantaran Truth Social beliau, Trump menyatakan bahawa China sangat gembira kerana beliau membuka Selat Hormuz secara kekal.
“Saya melakukannya untuk mereka juga dan untuk dunia,” kata Trump.
China ialah rakan dagang terbesar Iran dan pelanggan utama bagi eksport minyak negara itu.
Trump ditanya dalam wawancara Fox mengenai laporan bahawa China baru-baru ini telah melancarkan serangan siber besar-besaran terhadap Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI). Trump tidak mengesahkan laporan itu secara langsung, tetapi berkata: “Kami melakukannya kepada mereka. Mereka melakukannya kepada kami. China tetap China.’ – AFP










