Ekstradisi warga Bangladesh atas permohonan AS

Ekstradisi warga Bangladesh atas permohonan AS

MOHD. Khalid Ismail pada sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Proses esktradisi seorang warga Bangladesh dari negara ini ke Amerika Syarikat (AS) adalah susulan permohonan rasmi daripada negara berkenaan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, individu itu diserahkan kepada pihak berkuasa AS selepas kerajaan Malaysia menerima permintaan ekstradisi daripada negara tersebut.

“Ya, terdapat permintaan daripada kerajaan Amerika Syarikat dan individu itu telah diekstradisi oleh kerajaan kita ke Amerika Syarikat bagi menghadapi tindakan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang warga Bangladesh yang pernah didakwa atas kesalahan menghasilkan dan memiliki bahan pornografi kanak-kanak diserahkan kepada pihak Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), kelmarin.

Difahamkan,suspek dipindahkan dari Malaysia ke Alaska oleh FBI pada 4 Mac lalu.

Ia didedahkan Pengarah Biro FBI,  Kash Patel dalam platform X yang turut mengesahkan bahawa lelaki berusia 28 tahun itu dipindahkan oleh FBI Anchorage dari Malaysia untuk didakwa di mahkamah Alaska, Amerika Syarikat.

Kash turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, khususnya Pejabat Atase Perundangan (Legat) Kuala Lumpur, atas kerjasama membantu siasatan dan penahanan suspek.

Sementara itu, Peguam Negara AS, Pamela Bondi dalam kenyataan berkata, suspek telah mendera dan mengeksploitasi ratusan mangsa bawah umur di seluruh dunia.

Pada 2022, suspek yang juga pelajar perubatan sebuah universiti swasta di Kuala Lumpur, dituduh di mahkamah atas pertuduhan menghasilkan dan memiliki bahan pornografi kanak-kanak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN