Siaran Piala Dunia 2026 di Malaysia hampir dimeterai, ‘penyelamat’ muncul

Siaran Piala Dunia 2026 di Malaysia hampir dimeterai, ‘penyelamat’ muncul

MURAL lakaran yang menunjukkan seorang kanak-kanak memegang Piala Dunia di sebuah bangunan di Mexico sempena Piala Dunia 2026.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemelut penyiaran Piala Dunia 2026 di Malaysia hampir menemui jalan penyelesaian apabila sebuah syarikat swasta tampil sebagai ‘penyelamat’ dengan kesediaan menanggung kos hak siaran yang sebelum ini di luar kemampuan kerajaan.

Kejohanan yang dijadual membuka tirai pada 11 Jun itu sebelum ini mencetuskan tanda tanya besar dalam kalangan peminat tempatan susulan kos hak penyiaran yang mencecah sekitar RM200 juta, sekali gus menjadi beban yang sukar dipikul oleh pihak kerajaan.

Namun begitu, perkembangan terbaharu menyaksikan rundingan memasuki fasa positif apabila syarikat swasta hampir mencapai persetujuan dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), membuka peluang cerah untuk rakyat Malaysia menikmati aksi bola sepak terulung dunia secara rasmi dan sah.

Difahamkan, Telekom Malaysia Berhad (TM) muncul sebagai entiti utama yang bersedia memikul tanggungjawab tersebut, dengan rundingan telah memasuki fasa akhir, selain kos yang mencecah RM200 juta berpotensi dirunding semula ke paras lebih rendah.

Langkah berkenaan bukan sahaja dilihat sebagai penyelesaian kritikal, malah menjadi pemangkin kepada kebangkitan semula ‘demam Piala Dunia’ yang sekian lama dinantikan, terutama selepas kebimbangan sebelum ini bahawa Malaysia mungkin terlepas menyaksikan aksi pasukan terbaik dunia.

Terdahulu, isu ketiadaan penyiar rasmi menjadi perbualan hangat apabila masa semakin suntuk, sedangkan secara tradisinya, siaran Piala Dunia di negara ini melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk penyiar awam, televisyen berbayar, penaja korporat serta sokongan komuniti.

Sebagai rekod, Radio Televisyen Malaysia (RTM) pernah menyiarkan 41 daripada 67 perlawanan edisi 2018 secara percuma, manakala Astro kekal sebagai pemegang hak siaran penuh bagi beberapa edisi sebelum ini.

Syarikat minuman ikonik Coca-Cola turut menyumbang kepada penganjuran acara seperti Jelajah Trofi Piala Dunia, yang membawa trofi bola sepak berprestij itu ke Malaysia pada 2010, 2014, serta pada 21 Januari tahun ini di Sunway Pyramid.

Difahamkan, Malaysia berpotensi kehilangan antara RM70 juta hingga RM180 juta dalam aktiviti ekonomi langsung sekiranya gagal memperoleh hak penyiaran bagi Piala Dunia 2026.

Tayangan kejohanan berprestij itu secara kasarnya berupaya membawa limpahan ekonomi melebihi RM200 juta hingga RM300 juta.

Keputusan mendapatkan hak siaran kali ini bukan sekadar soal tontonan, tetapi juga melibatkan impak besar terhadap ekonomi dan industri tempatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN