KUANTAN: Cuaca mendung dan hujan renyai mengiringi perjalanan terakhir dua pekerja yang terkorban dalam tragedi bot penyelamat terjatuh di Kemudahan Penyimpanan dan Pemindahan Terapung (FSO) Sepat di perairan Terengganu-Kelantan di Tanah Perkuburan Islam Setali di sini hari ini.
Jenazah dua rakan sekerja itu disemadikan bersebelahan di tanah perkuburan tersebut dengan ratusan orang hadir memberi penghormatan terakhir termasuk ahli keluarga, saudara mara, kenalan dan penduduk kampung.
Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan apabila ada ahli keluarga yang dilihat tidak dapat menahan sebak ketika proses pengebumian berlangsung.
Terdahulu, jenazah Nik Muhammad Hafifi Asri Ab. Majid, 38, dan Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, dibawa secara berasingan dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu selepas selesai proses bedah siasat.
Jenazah Nik Muhammad Hafifi Asri kemudian disolatkan di Masjid Imam Ash-Shafie, KotaSAS, di sini, sebaik tiba kira-kira pukul 2.40 petang. Allahyarham kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali dengan urusan pengebumian selesai kira-kira pukul 5.56 petang.
Sementara itu, jenazah Muhammad Faezuan Hakim turut dikebumikan di tanah perkuburan sama dengan urusan pengebumian selesai kira-kira pukul 6.44 petang.
Semalam, media melaporkan tiga pekerja pelantar minyak maut manakala seorang lagi cedera parah selepas bot penyelamat yang dinaiki mereka terjatuh ke laut ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di FSO Sepat kira-kira pukul 12.50 tengah hari.
Seorang lagi mangsa yang maut ialah Ahmad Fiqri Zakaria, 38, manakala Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, cedera parah dan sedang menerima rawatan di HSNZ. – UTUSAN










