Caruman kecil, perlindungan besar untuk pekerja

Caruman kecil, perlindungan besar untuk pekerja

PERKESO turut memperkenalkan skim Lindung Kasih sebagai tanda penghargaan bagi melindungi suri rumah daripada risiko kemalangan atau kematian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bagi kebanyakan pekerja, caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mungkin hanya potongan dalam slip gaji bulanan namun tanpa sedar jumlah kecil itu membolehkan mereka menikmati perlindungan menyeluruh.

Bagi pekerja yang menerima gaji minimum RM1,700 sebulan, caruman kepada Perkeso hanyalah RM8.50 atau 0.5 peratus daripada gaji bulanan, selain RM3.40 (0.2 peratus) untuk Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), majikan pula mencarum RM29.75 kepada Perkeso dan RM3.40 kepada SIP bagi pihak pekerja.

Ahli ekonomi di Centre for Future Labour Market Studies, Zharif Luqman Hashim berkata, Perkeso diwujudkan bagi memastikan setiap pekerja mempunyai perlindungan asas apabila berhadapan kejadian tidak diingini.

Menurut beliau, perlindungan yang disediakan bukan hanya tertumpu kepada kemalangan di tempat kerja malah meliputi pelbagai risiko lain yang boleh menjejaskan kebajikan pekerja dan keluarga mereka.

“Menerusi Skim Bencana Pekerjaan, Perkeso melindungi pekerja daripada kecederaan ketika bekerja termasuk dalam perjalanan pergi dan pulang dari tempat kerja.

“Skim Keilatan pula menyediakan perlindungan 24 jam bagi kes hilang upaya atau kematian akibat sebarang sebab, manakala SIP memberi bantuan pendapatan sementara serta sokongan mencari pekerjaan kepada mereka yang kehilangan kerja,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Zharif Luqman berkata, sistem itu turut menyediakan bantuan pemulihan, anggota palsu, rawatan dialisis dan program kembali bekerja bagi membantu pekerja meneruskan kehidupan selepas ditimpa musibah.

Beliau berkata, konsep perlindungan sosial Perkeso berbeza daripada insurans swasta kerana caruman dikumpulkan secara bersama dan ditetapkan mengikut kadar gaji pekerja.

“Menanggung bil perubatan sahaja tidak menyelesaikan masalah sebenar yang dihadapi kebanyakan keluarga selepas berlaku kecederaan atau penyakit, iaitu kehilangan pendapatan dan keupayaan untuk bekerja.

“Perkeso pergi lebih jauh dengan menyediakan penggantian pendapatan selain bantuan pemulihan dan sokongan untuk kembali bekerja,” katanya.

Sementara itu, Felo Kanan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, Azizul Amiludin berkata, sistem insurans swasta lazimnya menggunakan penilaian risiko yang menyebabkan sesetengah pekerja dikenakan premium lebih tinggi berdasarkan umur, tahap kesihatan dan faktor lain.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan sebahagian pekerja terutama golongan berpendapatan rendah tidak mampu memiliki perlindungan sewajarnya ketika negara menuju status negara menua menjelang 2030.

“Tanpa sistem seperti Perkeso, beban penjagaan kesihatan dan kebajikan tidak akan hilang, sebaliknya dipindahkan kepada keluarga dan institusi awam.

“Justeru, insurans sosial tidak seharusnya dilihat sebagai perbelanjaan semata-mata, sebaliknya pelaburan bersama demi menjamin kestabilan sosial dan daya tahan ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN