Nahas tiga kenderaan, seorang kanak-kanak maut, 11 lagi cedera - Utusan Malaysia

Nahas tiga kenderaan, seorang kanak-kanak maut, 11 lagi cedera

PASUKAN bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Lebuhraya Segamat Kuantan dekat Muadzam Shah di Pekan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Seorang kanak-kanak lelaki maut manakala 11 lagi individu cedera selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Lebuhraya Segamat-Kuantan, dekat Muadzam Shah, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.12 pagi itu, mangsa yang menaiki sebuah Proton Saga disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kemalangan melibatkan sebuah Proton Saga, Perodua Alza dan Perodua Axia dengan keseluruhan 12 mangsa terlibat.

“Proton Saga itu dinaiki empat mangsa membabitkan dua lelaki dewasa yang tersepit dan cedera, seorang kanak-kanak lelaki turut cedera manakala seorang lagi kanak-kanak lelaki tersepit sebelum disahkan meninggal dunia.

“Perodua Alza pula membawa empat mangsa iaitu seorang lelaki dewasa, dua perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan yang kesemuanya cedera.

“Manakala Perodua Axia turut membawa empat mangsa terdiri daripada tiga perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki, seorang daripada mangsa dewasa tersepit dan cedera manakala yang lain hanya cedera,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera FRT dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan sebelum tiba pada pukul 1.41 pagi.

Katanya, operasi mengeluarkan mangsa tersepit dilakukan menggunakan peralatan khas rescue tool sebelum semua mangsa yang cedera diserahkan kepada ambulans KKM untuk dihantar ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN