Isteri hiba tak sempat konvokesyen bersama suami - Utusan Malaysia

Isteri hiba tak sempat konvokesyen bersama suami

NOOR Syazana Marjuni terpaksa menahan sebak apabila mengambil skrol buat dirinya dan arwah suami yang sepatutnya sama-sama bergraduasi pada Majlis Konvokesyen PSA Ke-22 di Shah Alam, Selangor semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang graduan Diploma Kejuruteraan Awam bukan sahaja terpaksa menahan sebak apabila naik ke pentas konvokesyen sendirian.

Malah lebih menyedihkan apabila dia turut mewakili Allahyarham suaminya yang sepatutnya turut bergraduan bersama pada Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) Ke-22 semalam.

Noor Syazana Marjuni, 37, merupakan penerima pertama yang naik ke pentas pada sidang ke-12 dan dia turut mengambil skrol bagi pihak Allahyarham Mohd. Zaki Ismail yang meninggal dunia pada Februari lalu akibat kanser perut.

Noor Syazana yang mencatatkan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.75 manakala arwah Mohd. Zaki mencatatkan CGPA 3.71 merupakan graduan bagi program separuh masa dan mereka masing-masing menerima Anugerah Pingat Ketua Jabatan yang disampaikan Pengurus Besar Divisyen Korporat Sumber Manusia, Panasonic Appliance Air-Conditioning (M) Sdn. Bhd., Datuk Moktar Mohd. Salleh.

Noor Syazana ketika ditemui selepas sesi penyampaian sijil itu berkata, walaupun dia gembira dapat menamatkan pengajian, namun hatinya berasa sedih apabila kegembiraan itu tidak dapat disambut bersama arwah suaminya.

GAMBAR kenangan Noor Syazana Marjuni bersama Mohd. Zaki Ismail yang sempat diabadikan sebelum suaminya menghembuskan nafas terakhir pada Februari lalu akibat kanser perut.

“Saya gembira namun perasaan sedih itu melebihi kegembiraan kerana sepatutnya arwah ada bersama dengan kita pada hari ini. Saya sambung belajar pun sebenarnya kerana mahu temankan dia,” katanya.

Noor Syazana bertugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor manakala arwah suaminya seorang pengurus di sebuah syarikat swasta.

Menurut Noor Syazana, sebagai penjawat awam dan juga isteri, tanggungjawab yang perlu digalas sebagai pelajar separuh masa menuntut banyak pengorbanan terutama masa bersama keluarga.

“Cabaran utama ialah masa sebab kami bekerja. Jika hujung minggu orang lain boleh meluangkan masa bersama keluarga, tapi saya meluangkan masa bersama suami di kelas dan membuat tugasan yang diberikan bersama-sama,” jelasnya.

Dia yang merancang untuk menyambung pelajar di peringkat doktor falsafah (PhD) sempat berpesan kepada graduan agar terus belajar dengan meningkatkan ilmu dan kemahiran agar kebolehpasaran graduan turut ditingkatkan.

Majlis Konvokesyen ke-22 PSA melabuhkan tirainya hari ini setelah berlangsung selama lima hari sejak 6 Disember lalu dengan keseluruhan graduan bergraduat seramai 2,818 orang.

PSA mengambil keputusan mengadakan majlis tersebut secara fizikal setelah mengambil kira hasrat mahasiswa dan ibu bapa yang ingin majlis istimewa tersebut diadakan secara bersemuka di samping kebenaran yang diberikan oleh kerajaan.

Sekretariat Majlis Konvokesyen dan Jawatankuasa Pengurusan Krisis Covid-19 melaksanakan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sepanjang majlis berlangsung. Ini termasuk mengehadkan jumlah graduan dan tetamu tidak melebihi 600 orang pada satu-satu masa serta menjalankan proses sanitasi pada setiap sidang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN