‘Kami tak mampu bayar sampai RM5.2 juta’ - Utusan Malaysia

‘Kami tak mampu bayar sampai RM5.2 juta’

KAMPUS Maahad Tahfiz Al-Hashimi (MTAH) di Kuala Krai, Kelantan menawarkan pengajian percuma kepada pelajar miskin sejak ditubuhkan pada 2013. - UTUSAN/ZAAIN ZIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Ketika perit kehilangan tujuh pelajar yang maut dalam nahas empat tahun lalu masih berbekas, Maahad Tahfiz Al-Hashimi (MTAH), di sini berdepan pula kemungkinan disita, sekali gus terpaksa berhenti menawarkan pengajian percuma kepada pelajar miskin.

Realiti itu pahit, namun perlu ditelan kerana pusat tahfiz persendirian tersebut gagal membayar tuntutan ganti rugi RM4.3 juta sebagaimana diperintah mahkamah kepada salah seorang mangsa yang terselamat tetapi lumpuh akibat nahas terbabit.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengasas MTAH, Datuk Adnan Hashim memberitahu, selepas diperintahkan membayar ganti rugi oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada 2018, pihaknya telah memfailkan rayuan.

Namun disebabkan masalah di pihak peguambela, permohonan untuk membuat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan pada 15 Mac lalu tetap ditolak dan kini pihaknya dikehendaki membayar ganti rugi bersama kos lain dengan jumlah keseluruhan RM5.2 juta.

Katanya, seluruh warga MTAH kini hanya mampu berdoa agar dibukakan pintu hati pihak peguam plaintif supaya tidak meneruskan rancangan mereka menyita MTAH dan syarikat miliknya, CT-One Corporation Sdn. Bhd.

“Jika gagal bayar, syarikat CT-One Corporation yang selama ini menanggung operasi pusat tahfiz serta MTAH sendiri akan disita. Sita syarikat maka tiada lagi dana untuk membiayai pengajian percuma di pusat tahfiz ini.

“Sita MTAH pula bermakna pusat tahfiz yang saya asaskan sejak 2013 ini ditutup dan kira-kira 60 pelajar kami terpaksa dihantar pulang kepada ibu bapa masing-masing supaya dapat bersekolah di tempat lain.

“Sejujurnya saya buntu, namun reda dengan ujian ini. Kami tidak mampu bayar sampai RM5.2 juta dalam masa singkat. Lebih-lebih lagi CT-One Corporation tidak ada pendapatan langsung sepanjang Covid-19 melanda dalam tempoh dua tahun ini,” keluhnya.

Kata Adnan, pada mulanya, peguam mencadangkan penyelesaian di luar mahkamah dengan bayaran sebanyak RM2 juta namun, juga dianggap terlalu tinggi kerana MTAH bukan sebuah organisasi yang menjana keuntungan.

Tambah beliau, biarpun tidak mampu membayar ganti rugi dituntut, pihaknya tidak pernah lepas tangan menjaga kebajikan pelajar terbabit, Muhammad Faiz Hafizuddin yang retak saraf tunjang sehingga berdepan kemungkinan lumpuh seumur hidup.

“Rawatan dan kos pembedahan sekitar RM20,000 semua kita tanggung, malah selepas keluar dari hospital, kita bawa dia dan keluarganya tinggal dalam kampus MTAH supaya kebajikannya terus terbela.

“Muhammad Faiz ini pelajar cemerlang dan kita mahu lantik dia jadi duta mengaji al-Quran MTAH. Bapanya pun kita kenal rapat kerana bekas pekerja saya. Mereka memang sudah reda dan amat faham bahawa nahas itu adalah ketetapan Allah SWT,” katanya.

Dalam kejadian 7 Ramadan 2017, tujuh pelajar MTAH maut manakala tujuh lagi terselamat termasuk Muhammad Faiz selepas van dipandu guru mereka terbabas dan merempuh sebuah rumah di Kilometer 55, Jalan Kuala Krai-Kota Bharu dekat Kampung Tekekong.

Ketika kejadian, kumpulan pelajar berkenaan dalam perjalanan untuk menghadiri program tafsir al-Quran sempena Program Madinah Ramadan di Kota Bharu dan siasatan lanjut polis mendapati guru pengiring yang memandu van berkenaan tidak memiliki lesen memandu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN