PETALING JAYA: Kira-kira 80 peratus penduduk di negara ini dirawat oleh doktor yang bertugas di perkhidmatan kerajaan berbanding pegawai perubatan swasta, sekali gus menjadi bukti bahawa perkhidmatan doktor kerajaan sangat diperlukan.
Sehubungan itu, amat wajar petugas perubatan berstatus kontrak di semua hospital kerajaan bukan sahaja dikekalkan, malah diserap ke perjawatan tetap bagi mengelakkan kekurangan doktor dan menjejaskan perkhidmatan kesihatan negara.
Jurucakap Gerakan Hartal Doktor Kontrak, Dr. Muhammad Yassin berkata, realitinya ialah negara masih memerlukan ramai lagi doktor di hospital dan klinik kerajaan kerana bilangan pesakit pun semakin ramai.
“Meskipun nisbah doktor dengan penduduk negara ini boleh dianggap mencukupi dan menepati nisbah yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), namun nisbah itu juga termasuk mereka yang berkhidmat di perkhidmatan swasta yang hanya merawat 20 peratus penduduk.
“Jika jumlah doktor swasta itu dikeluarkan, apakah nisbah doktor kerajaan dengan penduduk masih menepati kehendak antarabangsa,’’ soalnya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan, meskipun nisbah seorang doktor dengan 454 penduduk negara dianggap memenuhi saranan WHO, agihan penempatan doktor yang tidak seimbang antara kawasan menambahkan lagi permasalahan kepada isu doktor.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Koh Kar Chai berkata, berlaku keadaan jumlah doktor yang sepatutnya di kawasan tertentu tidak mencukupi, tetapi ada pula kawasan lain yang terlebih bilangannya.
Dr. Muhammad Yassin seterusnya berkata, kerajaan perlu memastikan doktor-doktor kontrak yang sudah sedia ada dalam sistem kesihatan negara dikekalkan dengan memberi jawatan tetap.
“Jika ramai doktor tinggalkan Kementerian Kesihatan, maka kita akan berdepan kekurangan doktor di masa hadapan.
“Apabila itu berlaku, rakyat terpaksa tunggu lama untuk berjumpa dengan doktor, tunggu lama semata-mata untuk dapatkan tarikh pembedahan dan tunggu lagi untuk dibedah pula, tunggu lama untuk dapatkan rawatan kecemasan dan bagi yang tak sanggup menunggu, mereka terpaksa ke (perkhidmatan) swasta walaupun mungkin terpaksa berhutang,” jelasnya.
Selasa lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam sidang Parlimen berkata, tiada jaminan untuk menyerap semua doktor kontrak ke perkhidmatan tetap dan kerajaan akan membuat unjuran jumlah yang diperlukan. – UTUSAN










