DAN2.0 sasar purata pertumbuhan sektor agromakanan

DAN2.0 sasar purata pertumbuhan sektor agromakanan

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerangka Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN2.0) dan pelan tindakan disediakan kerajaan menyasarkan purata pertumbuhan sektor agromakanan dengan dijangka berkembang pada kadar 4.5 peratus setahun dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dasar berkenaan meletakkan strategik pemodenan dan pertanian pintar sebagai ‘key games changer’ bagi menjayakan transformasi sektor agromakanan di samping bakal dipacu melalui dana pembiayaan, insentif pelaburan dan tenaga kerja bagi meningkatkan tahap penerima gunaan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat.

Tambah beliau, kaedah pertanian pintar menjadi fokus DAN2.0 yang bertujuan meningkatkan produktiviti merangkumi semua subsektor agromakanan dan merupakan antara aktiviti pertumbuhan ekonomi utama yang telah digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

“Isu sekuriti makanan semakin mendapat tumpuan di peringkat global. Dalam Persidangan United Nations Food Systems Summit pada 23 September lalu, saya telah menggariskan fokus transformasi sistem makanan negara. Oleh itu, fokus ini bakal dilaksanakan melalui DAN 2.0 dengan tempoh pelaksanaannya yang selari dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030. 

“Dalam hal berkaitan bidang penyelidikan, pembangunan, pengkomersilan dan inovasi akan menjadi nadi pembangunan sektor ini. Seiring itu, kerjasama pelbagai agensi penyelidikan kerajaan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta turut digembleng dalam menjayakan DAN 2.0 ini,” katanya dalam ucapan pelancaran DAN2.0 secara maya hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, Dasar Agromakanan Negara yang dilancarkan pada 2011 dan kesinambungannya menerusi DAN2.0 bertujuan untuk meneruskan agenda pembangunan sektor agromakanan dengan tumpuan khusus terhadap usaha meningkatkan sekuriti makanan negara.

Jelas Perdana Menteri, usaha tersebut bakal dijayakan melalui pemodenan dan pertanian pintar serta memperkukuhkan rantaian nilai agromakanan dengan keutamaan dasar kali ini ditumpukan kepada usaha mempertingkatkan produktiviti dan pendapatan serta kualiti hidup dalam kalangan pengeluar sektor makanan.

“Dasar Agromakanan Negara yang dilancarkan sebelum ini ternyata begitu membanggakan. Setelah dilancarkan, sumbangan sektor agromakanan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar ternyata meningkat dengan pertumbuhan purata tahunan sebanyak 6.8 peratus pada tahun 2020. Peningkatan ini hampir 100 peratus berbanding pertumbuhan KDNK pada 2010.

“Jumlah eksport bahan makanan turut meningkat dengan kadar pertumbuhan purata tahunan sebanyak 6.4 peratus, iaitu daripada RM18.1 bilion kepada RM33.7 bilion bagi tempoh tahun yang sama. Ternyata sektor agromakanan hari ini memiliki nilai tambah yang berpotensi meningkatkan pendapatan di sepanjang rantaian peserta industri,” ujar beliau.

Selain itu, Perdana Menteri menambah, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara pada 25 Mac 2020 bagi merangka dasar sekuriti makanan secara holistik dan kemudian membangunkan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 dengan mengambil kira isu dan cabaran sekuriti makanan negara.

“Kesemua dasar dan pelan itu akan saling melengkapi bagi menjayakan usaha negara dalam meningkatkan kemampanan sistem agromakanan,” katanya.

Kata Ismail Sabri, sistem makanan negara perlu diperkukuh supaya lebih berdaya tahan dan mampan terutama sebagai persediaan menangani krisis global selain pandemik Covid-19 yang mungkin berlaku pada masa akan datang.

“Ini termasuklah meningkatkan prestasi rangkaian di semua aktiviti yang berkaitan pengeluaran, pemprosesan, pengedaran, penyediaan, dan termasuklah keselamatan makanan serta pemakanan,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya