fbpx

Dakwaan maklumat baharu: Polis ambil keterangan bapa Nurin Jazlin

ALLAHYARHAM NURIN Jazlin yang ditemukan maut dalam sebuah beg sukan di Petaling Jaya, pada 14 tahun lalu.

PETALING JAYA: Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai mengesahkan telah mengambil keterangan bapa kepada Nurin Jazlin, kanak-kanak perempuan yang ditemukan maut dalam sebuah beg sukan di Petaling Jaya, pada 14 tahun lalu.

Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Eng Lai memberitahu, keterangan bapa kanak-kanak itu, Jazimin Abdul Jalil diambil selepas satu laporan polis dibuatnya mengenai dakwaan terdapat maklumat baharu yang mengaitkan kepada pembunuhan kanak-kanak itu.

BEH ENG LAI

“Ya, keterangan bapa kanak-kanak itu diambil pukul 2 petang tadi bagi membantu siasatan.

“Hasil rakaman percakapan lebih sejam itu, bapa mangsa ada memberi maklumat baharu berhubung kes anaknya itu dan hasil maklumat diberikannya itu akan disemak dengan teliti dahulu,” katanya di sini hari ini.

Sebuah akhbar semalam melaporkan sejak penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan pada pagi 17 September 2007 dalam sebuah beg sukan yang ditinggalkan di hadapan sebuah rumah kedai di PJS 1/48, Petaling Jaya, Selangor, Jazimin tetap berpendirian itu bukanlah anaknya, Nurin Jazlin.

Beliau berkata, ini termasuk saiz gigi yang berbeza, tahi lalat hidup di paha dan ketiadaan parut suntikan pelalian Bacillus Calmette–Guerin (BCG).

Susulan itu, Jazimin dilaporkan ada membuat laporan polis pada Jun lalu selepas mendapat petunjuk lain daripada seorang individu warga Indonesia berhubung suspek kes anaknya itu tetapi masih belum dapat reaksi positif.

Menurutnya, berdasarkan maklumat terbaru itu, seorang lelaki Indonesia yang bekerja dalam bidang perkapalan dikatakan menculik Nurin Jazlin dan anaknya itu sudah dibawa ke negara jiran berkenaan.

Nurin Jazlin dilaporkan hilang ketika keluar ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, di sini, kira-kira jam 8 malam, 20 Ogos 2007.

Penjenayah yang dikatakan menculiknya menyumbat mayat mangsa dalam beg sukan sebelum ditinggalkan di hadapan sebuah rumah kedai di PJS 1/48, Petaling Jaya. Mayat itu kemudian ditemui oleh pemilik kedai sebelum diadukan pada polis.

Polis kemudian berusaha menjejaki suspek berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian namun kualiti video yang kurang jelas menyukarkan polis untuk mengecam wajah suspek. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!