DUN Sabah kecoh isu lanjut masa persidangan - Utusan Malaysia

DUN Sabah kecoh isu lanjut masa persidangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kecoh seketika apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang bangun mencadangkan masa persidangan dilanjutkan.

Phoong Jin Zhe (DAP-Luyang) meminta Timbalan Speaker DUN, Datuk George Anthony Ginibun memanjangkan masa persidangan sehingga pukul 5.15 petang bagi membolehkan lebih ramai ADUN membahaskan ucapan dasar kerajaan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin semalam.

PHOONG JIN ZHE

Cadangan itu turut disokong Datuk Junz Wong (Warisan-Tanjung Aru) dan Chong Chin Bin (Warisan-Tanjong Kapor).

Bagaimanapun, Timbalan Speaker kekal bertegas bahawa persidangan tidak akan dilanjutkan sebaliknya akan ditangguhkan pada pukul 3.30 petang berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan demi keselamatan.

Tidak berpuas hati dengan penjelasan itu, Jin Zhe sekali lagi bangun mengatakan bahawa dalam peraturan mesyuarat, persidangan boleh dilanjutkan sehingga pukul 5.15 petang.

Kemudian Datuk Ruddy Awah (Bersatu-Pitas) bangun mencelah dan meminta agar ADUN Luyang tidak terus membuat kecoh.

“Ini peraturan Kementerian Kesihatan bukan peraturan kamu.Tolong Luyang jangan buat kecoh. Kita ada peraturan, ini peraturan Kementerian Kesihatan yang buat, bukan Speaker. Kenapa bantah mengenai perkara ini sekarang tadi sudah dijelaskan,” katanya.

Chin Bin pula mempersoalkan kenapa Parlimen boleh bersidang hingga pukul 7 malam dan bilangan Ahli Parlimen lebih ramai. Jadi, prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan KKM ini seperti satu negara tapi dua SOP berlainan.

ADUN kerajaan, Datuk Abidin Madingkir (STAR-Paginatan) dan Datuk Joniston Bangkuai (PBS-Kiulu) turun bangun mencelah.

Kekecohan dalam DUN berlanjutan selama 10 minit sehingga Speaker DUN, Datuk Kadzim M. Yahya tampil bagi meredakan ketegangan yang berlaku.

“Semasa saya maklumkan pada awal persidangan tadi, tiada bantahan daripada mana-mana pihak agar persidangan tidak ditangguhkan pada pukul 3.30 petang. Jadi, kita ikut masa ditetapkan. Oleh itu, mana-mana YB yang tidak sempat berucap, kita akan beri keutamaan semasa persidangan akan datang pada November ini,” katanya. –  UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya