Bersatu hanya beri kerjasama parti ‘sealiran’ - Utusan Malaysia

Bersatu hanya beri kerjasama parti ‘sealiran’

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya memberikan kerjasama terhadap parti yang ‘sealiran’ di bawah Perikatan Nasional (PN) terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sememangnya kerjasama parti di bawah PN yang membentuk kerajaan hari ini bersama-sama parti lain seperti UMNO tetap ada, namun mereka kurang jelas hala tuju parti itu pada masa akan datang.

“Hubungan kita dengan parti-parti lain seperti UMNO dalam kerajaan sekarang memang ada di peringkat nasional dan negeri, cuma kita kurang jelas hala tuju ke depan sama ada UMNO akan terus bersama begini atau ada pilihan tersendiri, itu bukan hak saya untuk tentukan.

“Jika mereka sebahagian daripada kita, kita akan bekerjasama. Jika tidak, kita akan menentang mereka pada PRU akan datang. Ini adalah prinsip kita yang mana saya rasa ia sememangnya diterima oleh semua ahli Bersatu.

“Setakat ini apa yang kita yakin, kita akan terus berhadapan dengan apa sahaja kemungkinan, ini cuma andaian (UMNO tidak sokong PN), sesuatu yang kita pun masih tidak pasti. Jadi, adalah sukar untuk saya ramalkan perkara apa yang akan berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Badan Pimpinan Bersatu Johor di Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh, di sini hari ini.

Justeru, kata bekas Perdana Menteri, Bersatu dan PN bersama-sama Pas dan Gerakan akan terus bergerak ke hadapan termasuk memperkemas jentera masing-masing bagi menghadapi sebarang keadaan.

“Saya minta setiap bahagian (Bersatu) perkemas jentera masing-masing, ini tidak bermakna PRU akan tiba esok tetapi biasa lah apabila sampai masa pilihan raya diadakan nanti kita harap dapat mencapai kejayaan.

“Di Johor, saya minta Bersatu bergerak rapat dengan PN, kita pakai warna biru untuk bendera, logistik dan cenderahati yang wajar untuk beri impak besar kepada pengundi termasuk di seluruh negara agar kita lebih akrab menjalankan program bersama-sama supaya rakyat dapat mesej PN Johor memang berfungsi,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai keyakinan beliau terhadap Pas, anggota Parlimen Pagoh itu yakin parti berkenaan akan terus bersama dalam PN terutama bagi menghadapi PRU-15.

Katanya, sehingga kini pucuk pimpinan Pas dan pimpinan tertinggi parti itu terus memberi sokongan dan menyertai mesyuarat berkaitan agenda yang diperjuangkan PN.

“Setakat yang saya sedar waktu mula kita daftar PN, Pas adalah penajanya dan Pas telah bersama-sama dalam PN sejak ia ditubuhkan dan kemudian barulah parti lain menyertainya.

“Sehingga ke hari ini saya lihat dalam semua mesyuarat yang kita adakan, wakil Pas dan Presidennya di peringkat pusat serta pucuk pimpinan Pas datang bersama-sama berbincang banyak perkara berhubung kait dengan kerajaan dalam PN. Jadi setahu saya ini tidak berubah sehingga sekarang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.