PETALING JAYA: Kerajaan tidak boleh lagi melihat sukan sebagai sektor sampingan apabila merangka Belanjawan 2027, sebaliknya perlu menyediakan peruntukan lebih besar bagi memastikan Malaysia mampu menjayakan Sukan SEA 2027 dan membina cabaran lebih mantap ke Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Pemerhati sukan tanah air, Prof Madya Dr. Zulakbal Abd. Karim berkata, tempoh dua tahun akan datang cukup kritikal buat sukan negara kerana Malaysia bukan sahaja menjadi tuan rumah Sukan SEA, malah perlu mempersiapkan atlet terbaik untuk bersaing di pentas Olimpik LA28.
Menurutnya, kedua-dua misi tersebut memerlukan pelaburan yang besar dan tidak boleh bergantung kepada peruntukan sedia ada jika negara mahu melihat hasil yang lebih kompetitif.
“Tahun depan kita akan menjadi tuan rumah Sukan SEA dan para atlet akan berjuang untuk layak ke Sukan Olimpik dan cuba memenangi pingat emas pertama di pentas tertinggi dunia itu.
“Jadi peruntukan yang lebih diperlukan mungkin RM3 bilion atau RM4 bilion untuk merealisasikan perkara itu, terutama dari segi penganjuran Sukan SEA kerana kita sebagai tuan rumah perlu membelanjakan wang.
“Kita juga tidak ada perkampungan sukan, jadi kerjasama dengan hotel untuk menempatkan atlet memerlukan peruntukan lebih,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Sukan SEA 2027 dijadual berlangsung dari 18 hingga 29 September dengan Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor dipilih sebagai empat kluster penganjuran.
Selain cabaran sebagai tuan rumah, Malaysia juga berdepan tanggungjawab untuk memastikan atlet berada pada tahap terbaik menjelang proses kelayakan ke Olimpik Los Angeles 2028 yang semakin hampir.
Dalam perkembangan sama, Zulakbal juga melihat sukan-sukan yang berpotensi menghadiahkan pingat perlu diberikan perhatian dan dana lebih bagi membolehkan atlet berkenaan mendapat persediaan optimum.
Katanya, kejayaan yang diraih atlet negara di pentas Sukan Asia dan Sukan Komanwel sepatutnya menjadi bukti bahawa pelaburan dalam sukan mampu menghasilkan pulangan yang positif kepada negara. – UTUSAN











