NEW YORK: Tiger Woods mencetuskan tanda tanya mengenai kemungkinan kembali ke kancah golf kompetitif selepas pemain berusia 50 tahun itu dikesan berlatih pukulan tee di Kelab Antarabangsa Golf Liberty, New Jersey, kelmarin.
Rakaman video pendek Woods yang tular di media sosial itu mencetuskan spekulasi bahawa juara 15 kejohanan utama berkenaan mungkin sedang mempertimbangkan untuk kembali beraksi, namun dia belum membuat sebarang komitmen mengenai perkara itu.
Woods kini berada di New Jersey bagi menghadiri Piala Nexus, kejohanan berpasukan amatur eksklusif anjurannya yang turut memberi manfaat kepada Yayasan TGR miliknya, selain mengambil bahagian dalam satu klinik golf di acara berkenaan.
Ketika ditanya mengenai keadaan permainannya di hadapan penonton yang hadir mendapatkan tunjuk ajar, Woods memberikan jawapan ringkas namun cukup untuk mencetuskan persoalan mengenai tahap permainannya.
“Saya masih boleh melakukan hampir semua pukulan,” katanya.
Woods tidak beraksi dalam mana-mana kejohanan utama mahupun pertandingan kompetitif sejak 2024 selepas masalah kesihatan terus membataskan aktivitinya dalam golf profesional.
Kecederaan parah pada bahagian bawah kaki kanan akibat kemalangan pada 2021 selain menjalani tujuh pembedahan belakang, termasuk penggantian cakera pada Oktober lalu, menjadi antara faktor utama yang menjejaskan kariernya.
Kemunculan Woods di padang golf itu hadir hampir dua minggu selepas dia mengaku tidak mempertikaikan pertuduhan memandu secara sengaja, melulu dan berbahaya serta enggan menjalani ujian air kencing susulan kemalangan di Florida pada Mac lalu.
Sebagai penyelesaian kes berkenaan, Woods menerima penggantungan lesen memandu selama lima tahun bagi dua pertuduhan yang berjalan serentak serta denda AS$1,000 (RM4,044), manakala pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah digugurkan.
Untuk rekod, dia masih belum memenangi sebarang gelaran sejak kemalangan 2021 dengan kemenangan terakhirnya hadir pada Kejohanan Zozo 2019. – AGENSI/UTUSAN










