NEW YORK: Tiger Woods tidak berada dalam senarai pemain Jupiter Links GC bagi perlawanan terakhir musim TGL menentang The Bay Golf Club, Selasa ini, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai penyertaannya musim ini.
Jupiter kini menghuni tangga kelima daripada enam pasukan dan hanya dibezakan satu mata dengan kelompok empat terbaik untuk layak ke playoff.
Kemenangan ke atas The Bay sudah cukup untuk membawa mereka ke peringkat separuh akhir.
Bagi aksi penentuan itu, Jupiter akan diperkuatkan Max Homa, Kevin Kisner dan pemain Korea Selatan, Tom Kim.
Mereka bakal berdepan cabaran sengit daripada Wyndham Clark, Ludvig Aberg dari Sweden serta Min Woo Lee yang mewakili Bay.
Ketiadaan Woods memberi tamparan besar buat pasukan itu, malah beliau berkemungkinan terlepas keseluruhan musim kedua liga golf simulator tertutup yang diasaskannya bersama Rory McIlroy.
Jika Jupiter berjaya melangkah ke playoff, mereka dijadual beraksi dalam separuh akhir pada 17 Mac, manakala perlawanan akhir akan berlangsung minggu berikutnya.
Woods, juara 15 kejohanan major, masih menjalani proses pemulihan selepas mengalami koyakan tendon Achilles pada Mac 2025 serta menjalani pembedahan belakang ketujuh pada Oktober tahun sama.
Pada Januari lalu, beliau mengakui belum bersedia untuk bersaing dalam format TGL kerana tahap kelajuan dan kekuatan pukulan masih belum memuaskan.
“Saya baru beralih kepada pukulan jarak dekat, itu sahaja setakat ini. Saya perlukan lebih daripada itu untuk beraksi dalam TGL.
“Dengan tahap kelajuan saya sekarang, mungkin saya hanya mampu bermain di lubang stinger dan sekadar melakukan pukulan rendah dari tee.
“Namun, saya menunjukkan perkembangan yang baik dan semakin kuat. Cuma proses penyembuhan tulang mengambil masa yang lama untuk benar-benar pulih dan stabil,” katanya.
Woods bagaimanapun tidak menolak kemungkinan akan beraksi di Kejohanan Masters pada April dan memaklumkan beliau kini sudah mampu melakukan pukulan penuh, meskipun belum konsisten setiap hari.-AFP










