Sebab sampel air kencing, polis tahan Woods

Sebab sampel air kencing, polis tahan Woods

Tiger Woods dibawa keluar dari Penjara Daerah Martin selepas ditahan berikutan kemalangan kereta Jumaat lalu. Pejabat Sheriff Daerah Martin menyatakan Woods dan pemandu lain yang terlibat dalam kemalangan dua kereta di Jupiter Island tidak mengalami kecederaan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIAMI: Legenda golf, Tiger Woods sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila ditahan pihak berkuasa selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Florida, Amerika Syarikat, kelmarin.

Pemain golf berusia 50 tahun itu ditahan selepas kenderaannya terbalik ketika cuba memotong sebuah trak di jalan kediaman berhampiran kediamannya di Jupiter Island.

Menurut pihak berkuasa, Woods menunjukkan tanda-tanda gangguan keupayaan meskipun beliau lulus ujian pernafasan alkohol di lokasi kejadian.

Sherif Martin County, John Budensiek berkata, tindakan Tiger Woods yang enggan memberikan sampel ujian air kencing menyukarkan pihak berkuasa menentukan secara tepat bahan yang mempengaruhi keadaan sebenar pemain itu ketika insiden berlaku.

“Apabila kami meminta ujian air kencing, dia enggan dan itu menyebabkan dia didakwa atas kesalahan memandu di bawah pengaruh, kerosakan harta benda serta keengganan menjalani ujian sah.

“Pakar pengesanan dadah mendapati Woods berada dalam keadaan lesu dan dipercayai dipengaruhi oleh sejenis ubat atau bahan tertentu,” kata Budensiek.

Insiden itu bagaimanapun tidak mengakibatkan kecederaan kepada Woods mahupun pemandu trak terbabit, namun pihak berkuasa menyifatkan keadaan boleh menjadi lebih buruk sekiranya berlaku pertembungan dengan kenderaan dari arah bertentangan.

Woods sebelum ini pernah ditahan pada 2017 atas kesalahan sama dan mengaku mengambil campuran ubat penahan sakit sebelum memandu, sekali gus menjejaskan reputasinya sebagai ikon sukan dunia.

Kariernya juga sebelum ini digugat pelbagai isu termasuk skandal peribadi pada 2009 serta beberapa siri kecederaan serius, termasuk kemalangan ngeri pada 2021 yang hampir menamatkan kerjayanya.

“Badan ini tidak lagi pulih seperti ketika saya berusia 24 atau 25 tahun, tetapi itu tidak bermakna saya akan berhenti mencuba,” kata Woods. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×