Malaysia intai final Piala Asia selepas raih slot Piala Dunia 2027

Malaysia intai final Piala Asia selepas raih slot Piala Dunia 2027

SKUAD Young Tigers yang berjaya mendapatkan slot ke Piala Dunia Remaja 2027 dan akan menentang India dalam separuh akhir Piala Remaja Asia 2026 di Moqi, China, hari ini. - IHSAN JUNIOR ASIA CUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lima pertemuan terdahulu menjadi pengalaman berguna buat skuad hoki remaja negara untuk memburu kemenangan ke atas India dalam aksi separuh akhir Piala Remaja Asia 2026 di Moqi, China, hari ini.

Ketua jurulatih negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata, pasukannya sudah cukup mengenali corak permainan India dan akan cuba menutup kelebihan lawan sebelum mencuri peluang untuk melakar kemenangan.

“Kita sudah biasa bermain dengan mereka dan sudah lima kali bertemu. India pasukan yang bagus dan kita nampak mereka menewaskan Jepun 7-3.

“Jadi, kita pergi untuk menang. Kita cuba tutup kelebihan mereka dan curi mata kemenangan,” katanya.

Malaysia sebelum itu sudah mengesahkan slot mereka ke Piala Dunia Remaja 2027 susulan kejayaan mereka mara ke peringkat separuh akhir Piala Remaja Asia 2026 sekali gus mencapai sasaran awal Nor Saiful.

Namun, Nor Saiful enggan anak buahnya berpuas hati setakat layak ke Piala Dunia apabila mereka kini berpeluang memburu tempat ke final.

Bekas pemain negara itu berkata, persembahan ketika menewaskan tuan rumah China 1-0 dalam aksi terakhir Kumpulan B memberi keyakinan kepada pasukan, terutama dari segi semangat juang ketika berdepan situasi sukar.

“Dalam tiga suku pertama kita bermain dengan baik tetapi tidak menyempurnakan peluang yang ada. Sama seperti ketika menentang Pakistan, kita banyak peluang dan sepatutnya boleh menjaringkan gol awal.

“Bagaimanapun, apabila pemain kita dikeluarkan pada suku ketiga kerana kekasaran dan dikenakan kad kuning 10 minit, China mula memberi tekanan dan kita sedikit kelam-kabut.

“Struktur permainan kita ketika itu tidak begitu baik, tetapi kita mampu bertahan untuk mengekalkan keputusan 1-0 hingga tamat,” katanya.

Nor Saiful bagaimanapun memaklumkan Malaysia kehilangan khidmat Gagandeep Singh yang berdepan penggantungan selepas mengumpul dua kad kuning.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia muncul juara pada Piala Remaja Asia ketika negara menganjurkannya pada edisi 2012. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×