Parasit pemakan daging dikesan pada hidupan liar AS

Parasit pemakan daging dikesan pada hidupan liar AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEXAS: Amerika Syarikat (AS) mengesahkan penemuan pertama parasit pemakan daging cacing skru New World dalam hidupan liar di negara itu selepas ia dikesan pada seekor rusa elk di daerah Pecos, Texas.

Jabatan Pertanian AS (USDA) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan haiwan itu ditemukan di sebuah ladang buruan sebelum penemuan berkenaan dilaporkan oleh seorang pemburu yang memburu haiwan tersebut.

Susulan itu, Suruhanjaya Kesihatan Haiwan Texas akan mengubah suai sempadan zon yang sebelum ini diisytiharkan sebagai kawasan dijangkiti.

Memuatkan artikel berkaitan…

USDA bersama Jabatan Taman dan Hidupan Liar Texas turut menjalankan pemantauan tambahan terhadap hidupan liar di kawasan berkenaan bagi mengesan kemungkinan jangkitan lain.

Pengarah Bahagian Hidupan Liar Texas, Alan Cain, menggesa pemburu dan pemilik tanah supaya berwaspada terhadap tanda-tanda kehadiran parasit itu ketika berada di lapangan sepanjang musim memburu.

“Kami menggesa semua pemburu dan pemilik tanah supaya sentiasa berwaspada terhadap tanda-tanda kehadiran cacing skru New World ketika berada di lapangan sepanjang musim ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Dihapuskan dari AS beberapa dekad lalu, perosak itu kini merebak ke utara dari Amerika Tengah melalui Mexico, sekali gus mendorong Washington mengenakan larangan import lembu dari negara jiran itu selama lebih setahun.

AS menghentikan import ternakan dari Mexico tahun lalu bagi menghalang kemasukan parasit berkenaan, namun perdagangan disambung semula pada Ogos menerusi sebuah pintu masuk di Arizona sebagai sebahagian daripada pelan pembukaan semula secara berperingkat.

Penggantungan import itu menjejaskan bekalan lembu di AS dan menyebabkan harga daging lembu melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah bagi pengguna di negara itu.

Walaupun pelbagai langkah diambil, parasit cacing skru New World dikesan pada seekor anak lembu di daerah Zavala, Texas, pada Jun lalu. Daerah itu terletak berhampiran sempadan AS-Mexico.

Sejak itu, puluhan kes parasit berkenaan dikesan di AS sepanjang tahun ini, termasuk pada seekor kuda dan seekor anjing.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini