PETALING JAYA: Bergson Da Silva tidak tertekan untuk membuktikan ketajamannya di pentas antarabangsa, sebaliknya menganggap peluang menyarung jersi Malaysia sebagai satu tanggungjawab besar yang perlu dinikmati sebaik mungkin.
Penyerang berusia 30 tahun itu berkata, sasaran untuk membantu Harimau Malaya adalah sesuatu yang positif dan bukannya tekanan, terutama selepas sekian lama menyimpan impian untuk beraksi bersama skuad kebangsaan.
“Saya menganggapnya sebagai satu tanggungjawab yang amat besar dan baik, bukannya tekanan. Dalam setiap langkah kehidupan, kita mempunyai sasaran.
“Berada di sini adalah satu lagi tanggungjawab besar bagi saya dan saya berharap dapat merealisasikan hasrat yang sememangnya mahu berada di sini. Saya sentiasa mahu menyarungkan jersi ini, sentiasa mahu bersama pasukan ini,” kata penyerang naturalisasi Harimau Malaya itu.
Bergson berkata, dia kini hanya mahu menikmati pengalaman beraksi bersama Harimau Malaya selain memberikan segala kemampuan terbaiknya setiap kali diberikan kepercayaan oleh jurulatih.
Menurutnya, sebelum menyertai kem kebangsaan, dia turut meluangkan masa menonton beberapa perlawanan dan sorotan aksi Malaysia bagi mendapatkan gambaran mengenai suasana serta tuntutan menyarungkan jersi negara.
“Sebelum saya datang, saya ada menonton beberapa perlawanan dan sorotan perlawanan kerana saya mempunyai rakan sepasukan di sini sebelum ini.
“Mereka sentiasa memberitahu saya bahawa suasananya berbeza apabila menyarungkan jersi ini (Malaysia). Jadi, ya, jangkaannya sangat tinggi,” katanya.
Bergson turut mengakui teruja untuk merasai sendiri bahang perlawanan membabitkan Malaysia, terutama sekiranya berdepan Indonesia yang dianggap antara pencabar utama dalam saingan serantau.
“Saya rasa semua perlawanan akan menjadi sukar. Pada masa kini, tiada perlawanan yang mudah. Setiap pihak lawan bekerja keras seperti kami.
“Kami menantikannya dan sudah tentu kami mengkaji permainan mereka. Kami akan buat yang terbaik untuk memenangi perlawanan itu kerana kami tahu mereka lawan yang besar,” katanya.
Bergson berkata, pertemuan Malaysia dan Indonesia pastinya mempunyai nilai tersendiri kerana membabitkan dua negara besar, namun dia percaya kemampuan rakan sepasukan untuk menghasilkan keputusan yang diharapkan penyokong. – UTUSAN











