PETALING JAYA: Saingan Liga A1 Semi-Pro musim 2026/2027 dijangka menjadi antara edisi paling kompetitif sejak liga itu diperkenalkan apabila beberapa pasukan berprofil tinggi dan kelab tradisi tampil dengan wajah baharu serta sasaran lebih besar.
Kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) II muncul juara musim lalu membuktikan tahap persaingan Liga A1 semakin meningkat, sekali gus meletakkan tekanan kepada pencabar lain untuk memperkukuhkan pasukan masing-masing.
Antara pasukan yang mencuri tumpuan ialah Kedah FA yang melakukan rombakan besar-besaran dengan melantik bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli sebagai ketua jurulatih bagi musim 2026/2027.
Kelantan City FC juga muncul sebagai antara pasukan yang berpotensi menjadi pencabar utama selepas melalui proses penjenamaan semula dan melantik jurulatih dari Brazil, Wanderley Machado Da Silva Junior.
Pengurusan baharu yang turut membabitkan kerjasama bekas-bekas pemain skuad era kegemilangan Kelantan itu memberi gambaran bahawa kelab berkenaan mahu membina pasukan yang lebih stabil serta berdaya saing dalam tempoh panjang.
Perak FA pula dijangka terus menjadi pasukan yang sukar dijinakkan selepas kebangkitan luar biasa musim lalu yang berteraskan pemain muda tempatan, skuad The Bos Gaurus berpeluang menjadi pencabar sekiranya mampu mengekalkan konsistensi sepanjang musim.
Dalam masa sama, Liga A1 kini bukan lagi sekadar platform pembangunan pemain muda, sebaliknya menjadi gelanggang buat kelab-kelab yang mahu membuktikan kemampuan memenuhi standard profesional.
Isu pelesenan, pengurusan kewangan dan pentadbiran dijangka terus menjadi faktor penting dalam menentukan hala tuju sesebuah pasukan, bukan sekadar keputusan di atas padang
Musim baharu juga dijangka menyaksikan lebih banyak persaingan dari aspek taktikal apabila beberapa pasukan membawa masuk jurulatih berpengalaman selain memberi peluang kepada bekas pemain kebangsaan membina nama sebagai pengendali.
Perkembangan itu secara tidak langsung mampu meningkatkan standard kejurulatihan di peringkat separa profesional.
Dari sudut pembangunan pemain, Liga A1 yang disertai 14 pasukan terus memainkan peranan penting sebagai jambatan kepada pemain muda sebelum melangkah ke Liga Super. – UTUSAN










