Tiada ruang silap lagi buat Speedy Tigers 

Tiada ruang silap lagi buat Speedy Tigers 

Skuad hoki negara tewas 1-4 kepada Jepun dalam Kejohanan Piala Negara-Negara di Cape Town, Afrika Selatan, baru-baru ini. - IHSAN KHM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Speedy Tigers tidak lagi mempunyai ruang untuk melakukan kesilapan apabila turun menentang New Zealand dalam aksi ketiga Kumpulan A Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) di Cape Town, Afrika Selatan, esok.

Kekalahan 1-4 kepada Jepun kelmarin menyaksikan Malaysia kini menghuni tangga ketiga kumpulan dengan tiga mata manakala New Zealand berada di kedudukan kedua selepas menang 1-0 ke atas Korea Selatan dan masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan.

Ketua jurulatih negara, Brendan Carolan percaya anak-anak buahnya mampu kembali ke landasan kemenangan sekiranya segera memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti dalam perlawanan itu.

“Sudah tentu saya amat kecewa kerana kami mahu meneruskan apa yang kami lakukan ketika menentang Scotland, tetapi saya fikir semua orang tahu persembahan kami hari ini tidak cukup baik.

“Apa yang boleh kami lakukan sekarang adalah menjadi lebih baik dalam perlawanan seterusnya dan memastikan kami mendapatkan mata ketika menentang Korea untuk mendapatkan semula mata yang tercicir,” kata Carolan.

Carolan mengakui Speedy Tigers masih mempunyai banyak perkara yang perlu diperbaiki terutama dari aspek penguasaan bola dan disiplin bertahan selepas melepaskan empat gol kepada Jepun.

“Kami perlu menjadi lebih baik ketika menguasai bola kerana kami terlalu mudah kehilangannya dan perlu mempunyai fasa penguasaan yang lebih berkualiti berbanding terus menyerang sepanjang masa.

“Dari segi pertahanan juga ia amat mengecewakan kerana kami melepaskan beberapa gol mudah selain memberikan pukulan sudut penalti yang tidak sepatutnya kepada lawan,” katanya.

Beliau berkata, barisan kejurulatihan akan melakukan analisis menyeluruh terhadap rakaman video perlawanan bagi mengenal pasti kelemahan sebenar sebelum membuat persiapan menghadapi New Zealand yang kini berada dalam kedudukan lebih selesa untuk memburu tiket separuh akhir.

Mengikut format pertandingan, hanya dua pasukan terbaik setiap kumpulan layak ke separuh akhir sekali gus menjadikan perlawanan menentang New Zealand dan Korea Selatan sebagai aksi hidup mati buat Speedy Tigers dalam misi meneruskan kemaraan di Cape Town. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN