Aksi Mbappe memukau, atasi rekod Giroud

Aksi Mbappe memukau, atasi rekod Giroud

Pemain pertahanan Senegal, Kalidou Koulibaly mengasak penyerang Perancis, Kylian Mbappe dalam saingan Kumpulan I Piala Dunia 2026 di Stadium New York/New Jersey, Rutherford, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EAST RUTHERFORD : Kylian Mbappe sekali lagi membuktikan statusnya sebagai mesin gol Perancis apabila meledak dua gol untuk membantu Les Bleus menewaskan Senegal 3-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan I Piala Dunia 2026 di Stadium MetLife, semalam.

Kemenangan itu bukan sahaja memberikan permulaan sempurna buat juara dunia dua kali itu, malah menyaksikan Mbappe mencipta sejarah baharu apabila muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman Perancis.

Penyerang Real Madrid berusia 27 tahun itu kini mengumpul 58 gol daripada 99 penampilan antarabangsa, sekali gus mengatasi rekod legenda Perancis, Olivier Giroud yang merekodkan 57 gol.

Pengendali Perancis, Didier Deschamps menyifatkan anak buahnya itu sebagai pemain luar biasa yang sentiasa mampu mengubah keputusan perlawanan dalam sekelip mata walaupun sering menjadi sasaran kritikan.

“Masih ada orang yang akan mengkritiknya tetapi dia adalah pemain yang luar biasa. Tidak semuanya menjadi untuknya, namun dia mampu memenangi perlawanan dalam satu detik.

“Sebagai kapten, dia melakukan banyak perkara untuk pasukan di dalam dan luar padang walaupun ada pihak menganggap dia seorang yang pentingkan diri sendiri,” katanya.

Perancis bagaimanapun tidak memperoleh kemenangan itu dengan mudah apabila Senegal memberikan tentangan sengit sepanjang babak pertama dan hampir membuka jaringan lebih awal menerusi beberapa serangan berbahaya.

Mbappe memecahkan kebuntuan pada pertengahan babak kedua sebelum Bradley Barcola menggandakan kelebihan pasukan.

Senegal yang enggan mengalah berjaya merapatkan kedudukan menerusi Ibrahim Mbaye, namun Mbappe memastikan tiga mata menjadi milik Perancis apabila menjaringkan gol kedua peribadinya menjelang penghujung perlawanan. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN