Tempat ketiga permulaan terbaik Man. United - Carrick

Tempat ketiga permulaan terbaik Man. United – Carrick

Michael Carrick
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pengendali Manchester United, Michael Carrick menganggap kejayaan menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga ketiga sebagai asas terbaik untuk membentuk pasukan lebih ampuh musim depan.

Carrick yang baru diumumkan sebagai pengurus tetap United menerusi kontrak dua tahun Jumaat lalu terus membuktikan sentuhannya apabila The Red Devils menutup kempen liga dengan kemenangan bergaya 3-0 ke atas Brighton & Hove Albion, semalam.

Kemenangan itu melengkapkan rentetan positif United apabila merekodkan kemenangan ke-12 daripada 17 perlawanan sejak Carrick mengambil alih pasukan menggantikan Ruben Amorim Januari lalu.

Patrick Dorgu membuka tirai jaringan pada minit ke-33 sebelum Bryan Mbeumo dan kapten pasukan, Bruno Fernandes menambah derita Brighton menerusi gol pada setiap babak permainan.

Carrick berkata, meskipun sasaran ke Liga Juara-Juara sudah dicapai lebih awal, beliau mahu pemain terus mengekalkan mentaliti kemenangan sehingga aksi terakhir musim ini.

“Kami menamatkan musim dengan cara yang cukup baik. Momentum yang kami bina sangat positif dan pemain menunjukkan fokus tinggi walaupun kedudukan kami sudah terjamin.

“Saya tekankan kepada mereka bahawa ini bukan penghujung perjalanan, sebaliknya permulaan kepada fasa baharu pasukan.

“Perlawanan ini memberi petunjuk jelas mengenai asas yang boleh kami bina untuk musim depan,” katanya.

Dalam pada itu, Fernandes sekali lagi mencuri perhatian apabila mencipta sejarah EPL selepas merekodkan bantuan gol ke-21 musim ini, sekali gus memecahkan rekod baharu liga.

Pemain Portugal itu terlebih dahulu mencipta peluang buat Dorgu menerusi sepakan penjuru sebelum meledak gol ketiga United pada minit ke-48 hasil rembatan rendah yang menewaskan penjaga gol lawan.

Ia melengkapkan gol kesembilan Fernandes musim ini, hanya sehari selepas dia diumumkan sebagai Pemain Terbaik EPL musim ini selain turut merangkul anugerah pemain terbaik pilihan penulis bola sepak. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN