Naga Api tempelak aksi longlai beregu

Naga Api tempelak aksi longlai beregu

Aaron Chia-Soh Wooi Yik sekali lagi gagal memecahkan dominasi pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang selepas tunduk straight set 15-21, 15-21 dalam Terbuka Singapura baru-baru ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi tidak berselindung mengakui kelemahan sendiri menjadi punca utama kegagalan dua beregu negara meneruskan cabaran pada suku akhir Terbuka Singapura, kelmarin.

Beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sekali lagi gagal memecahkan dominasi pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang selepas tunduk straight set 15-21, 15-21 dalam aksi yang memperlihatkan jurang ketara dari segi intensiti permainan.

Kekalahan tersebut menjadi yang ke-11 buat pasangan ranking kedua dunia itu kepada beregu China berkenaan sekali gus terus menimbulkan persoalan mengenai kemampuan mereka dalam aksi berprofil tinggi.

“Aaron-Wooi Yik itu, bagi saya mereka kalah dari segi kepantasan dan kekuatan kepada beregu China. Jadi apa sahaja corak permainan yang digunakan memang kita sudah kalah dalam perlawanan tersebut.

“Selain itu mereka juga banyak buat kesilapan mudah yang membuka ruang kepada pemain lawan dan untuk perlawanan itu memang beregu China bermain sangat baik,” kata Herry.

Dalam masa sama, jurulatih berasal dari Indonesia yang terkenal dengan julukan ‘Naga Api’ itu turut menganggap kekalahan Aaron Tai-Kang Khai Xing lebih memeritkan kerana pasangan muda negara itu sebenarnya berada di landasan terbaik untuk melakar kejutan ke separuh akhir.

Bekas juara remaja dunia tersebut bermula cemerlang sebelum tewas 21-19, 17-21, 13-21 kepada beregu India, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy selepas gagal mengekalkan momentum pada dua set terakhir.

“Mengenai Aaron-Khai Xing, rasa sayang kerana mereka sudah mendahului set kedua tetapi tidak dapat bertahan hingga kalah. Secara jujur mereka sepatutnya menang perlawanan itu tetapi beregu India bermain cukup luar biasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN