MUGELLO, Itali: Pelumba Sepanyol, Raul Fernandez mencipta kejutan besar apabila memenangi perlumbaan pecut Grand Prix Itali manakala Jorge Martin mencatat rekod kelajuan baharu di Mugello sambil mengurangkan jurang dengan pendahulu, Marco Bezzecchi.
Pelumba Trackhouse Racing MotoGP yang menunggang jentera Aprilia itu menamatkan perlumbaan lebih satu saat di hadapan bekas juara dunia dan rakan senegaranya, Martin sekali gus meraih kemenangan keduanya dalam kelas perdana perlumbaan motosikal.
Fabio Di Giannantonio mencatat masa terpantas dalam ketiga-tiga sesi latihan tetapi bermula di petak ketujuh menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, lebih tiga saat di belakang.
Fernandez terpaksa melalui sesi kelayakan pertama untuk merebut peluang berada di petak hadapan dan sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang dari barisan depan, di mana dia berada di antara Bezzecchi dan Martin.
Kedudukan kedua di grid merupakan pencapaian terbaiknya setakat ini dalam sesi permulaan perlumbaan.
Dia kemudian mengambil risiko dengan menggunakan tayar belakang jenis sederhana sedangkan kebanyakan pelumba lain memilih tayar lembut dalam cuaca panas.
Pertaruhan itu membuahkan hasil apabila Fernandez segera meninggalkan Bezzecchi yang meraih petak utama dengan rekod baharu litar dan hanya Martin mampu mengekori rapat.
“Saya sangat gembira, saya kehilangan kata-kata… Saya berasa sangat baik sejak semalam (Jumaat), jadi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan.
“Saya mencuba tayar medium dan ia berjaya, jadi itu sangat bagus. Kami akan cuba menang lagi esok,” kata Fernandez.
Bezzecchi akhirnya hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat keempat yang mengecewakan.
Pelumba Aprilia itu kini mendahului rakan sepasukannya, Martin, dengan kelebihan 12 mata menjelang perlumbaan Grand Prix pada Ahad.
Martin turut mencipta rekod tersendiri apabila mencatat kelajuan terpantas pernah direkodkan di Mugello, iaitu 368.6 kilometer sejam, kira-kira dua kilometer sejam (km/j) lebih pantas daripada rekod sebelumnya yang dipegang oleh Brad Binder dan Pol Espargaro.
“Itu adalah salah satu sasaran kami. Ia sangat mengujakan untuk mencapai kelajuan tertinggi yang pernah dicatatkan. Saya tidak menolak kemungkinan mencapai 370 km/j kerana dengan arah angin dan kesan seretan (slipstream) yang sesuai, tambahan 2 km/j lagi memang mungkin,” kata Fabiano Sterlacchini, Pengarah Teknikal Aprilia Racing.
Pelumba Itali, Bezzecchi, menamatkan perlumbaan satu tempat di hadapan juara dunia bertahan, Marc Marquez yang kembali berlumba selepas menjalani pembedahan bahu dan mengalami patah kaki akibat kemalangan ngeri di MotoGP Perancis awal bulan ini.
Kecederaan itu menyebabkan Marquez terlepas perlumbaan utama di Le Mans Circuit serta hujung minggu perlumbaan sebelumnya di Barcelona, di mana adiknya, Alex Marquez, mengalami kemalangan serius yang memaksanya terlepas perlumbaan di Mugello dan juga Grand Prix di Hungary pada hujung minggu berikutnya. – AFP/UTUSAN










