Pertarungan Martin-Marquez memuncak

Pertarungan Martin-Marquez memuncak

Jorge Martin (depan) dan Marc Marquez bersaing sengit semasa perlumbaan Grand Prix Jepun, minggu lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOTEGI: Juara dunia MotoGP dua kali, Francesco Bagnaia menjangkakan perebutan gelaran dunia antara Jorge Martin dan Marc Marquez akan terus berlangsung sengit dan silih berganti sehingga pusingan terakhir musim ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pelumba Aprilia, Martin kini memiliki kelebihan tipis dua mata ke atas rakan sepasukan Bagnaia di Ducati Lenovo dan juara bertahan, Marquez selepas perlumbaan di Jepun, minggu lalu.

Dengan hanya enam pusingan berbaki, Bagnaia percaya persaingan antara kedua-dua pelumba itu masih terbuka luas, lebih-lebih lagi apabila beberapa litar selepas ini dijangka memberi kelebihan kepada salah seorang daripada mereka.

“Pada saya, ia sangat hebat. Di Indonesia, ia akan menjadi sangat sukar untuk Ducati. Tetapi selepas itu kami ke Australia, di mana Marc sangat kuat. Jadi, ia akan kekal sengit sehingga Valencia.

“Di Malaysia, ia lebih memihak kepada Jorge tetapi Valencia pula lebih sesuai untuk Marc.

“Jadi, ia satu pertarungan yang menarik antara mereka dan saya harap yang terbaik akan menang,” katanya Bagnaia.

Penilaian Bagnaia itu turut menyaksikan Qatar dan Portimao menjadi dua lagi litar yang lebih neutral dalam perebutan kejuaraan dunia musim ini.

Martin sebelum ini pernah menafikan kejuaraan kepada Bagnaia pada 2023 ketika bersama Pramac Ducati, sebelum menebus kekecewaan itu dengan muncul juara dunia MotoGP pada 2024.

Sementara itu, Marquez mencipta sejarah tersendiri apabila merangkul kejuaraan dunia kelas premier ketujuh dalam musim pertamanya bersama Ducati Lenovo.

Bagnaia pula kini melalui musim terakhirnya bersama Ducati sebelum menyertai Aprilia bagi musim 2027 untuk menggantikan Martin.

Pelumba Itali itu akan bergandingan dengan rakan baiknya, Marco Bezzecchi di pasukan pengeluar dari Noale itu.

Bezzecchi bagaimanapun ketinggalan 49 mata di belakang pendahulu keseluruhan, Martin ketika menuju ke pusingan Indonesia. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN