Selangor sasar 80 emas di Sukma 2026

Selangor sasar 80 emas di Sukma 2026

Sukma Selangor
MOHD. Najwan Halimi ditemui pemberita selepas Pelancaran Sukarelawan SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tuan rumah temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22, Selangor menyasarkan kutipan 80 pingat emas dalam acara yang akan berlangsung Ogos depan.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd. Najwan Halimi berkata, sasaran utama kutipan pingat emas diletakkan di bahu atlet olahraga dan renang dalam acara dwitahunan itu.

“Kita sasarkan 80 emas. Sasaran sukan tertentu sudah tentu dominasi kita dalam olahraga dan renang, itu lubuk emas kita,” katanya kepada pemberita, selepas Pelancaran Sukarelawan SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026 oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, hari ini.

Acara SUKMA pada tahun ini akan berlangsung di sembilan daerah di seluruh Selangor bermula dari 15 hingga 24 Ogos 2026, dengan melibatkan 474 acara yang merangkumi 37 jenis sukan di 52 venue.

Najwan berkata, persiapan penganjuran SUKMA sudah mencapai kira-kira 80 peratus dengan hanya dua fasiliti masih lagi melalui proses naik taraf iaitu Pusat Akuatik Darul Ehsan, Shah Alam dan Lapang Sasar Menembak, Subang.

“Pusat akuatik paling awal boleh lengkapkan kerja bulan Mei, begitu juga lapang sasar menembak, pusat akuatik, kemajuan kerja-kerja naiktaraf melebihi sasaran dan jangkaan kita.

“Itu dua fasiliti besar yang sedang dinaiktaraf, fasiliti peringkat daerah semua sudah siap, hampir 80 peratus,” ujarnya.

Majlis pembukaan temasya itu dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang dan majlis penutup di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Tambah Najwan, seramai 5,000 sukarelawan diperlukan bagi penganjuran temasya tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN