LONDON: Gandingan Bryan Mbeumo dan Bruno Fernandes dijangka mampu memberi nafas baharu kepada Manchester United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.
Mebumo yang menyertai United dari Brentford dengan nilai 65 juta poun (RM367 juta), selain potensi tambahan sebanyak 6 juta pound (RM33.9 juta) juga teruja bergandingan dengan Fernandes.
Pemain berusia 25 tahun itu menjaringkan 20 gol dan mencatat tujuh umpanan gol bersama Brentford dalam saingan EPL musim lalu, menandatangani kontrak lima tahun bersama United.
Mengulas mengenai gandingannya bersama Fernandes, Mbeumo berkata, dia sudah tidak sabar untuk beraksi bersama kapten United yang mempunyai karakter tersendiri di atas padang.
“Semua orang nampak sejak beberapa tahun lalu, dia boleh buat rembatan, dia boleh buat hantaran lintang, dia boleh buat hantaran gila. Ya, sebagai penyerang, anda hanya perlu menikmati semua itu,” kata Mbeumo.
Mbeumo berharap dapat memanfaatkan pengalaman pemain tengah Portugal itu, yang bulan lalu mendedahkan dia menolak tawaran lumayan dari Arab Saudi untuk kekal bersama United meskipun pasukan itu bergelut musim lalu.
“Di tengah padang, apabila anda bijak seperti dia, saya rasa anda tidak perlu fikir banyak. Anda hanya perlu buat larian dan dia akan hantar bola ke ruang yang betul setiap kali.
“Namun sudah tentu, anda boleh ada perbincangan sedikit untuk beri dia faham bagaimana saya suka menerima bola dan bagaimana saya rasa paling selesa untuk mendapatkannya.
“Tetapi pada satu tahap, hanya ada satu cara, walaupun itu bukan cara yang anda gemar, anda tetap kena buat larian dan dia akan hantarkan bola ke posisi yang baik,” tambahnya.
Ketibaan Mbeumo menyusuli kehadiran penyerang Wolves, Matheus Cunha dan pemain pertahanan kiri Paraguay, Diego Leon dari Cerro Porteno.
United kini mengharungi jelajah musim panas di Amerika Syarikat bagi membuat persiapan menghadapi perlawanan pembukaan EPL menentang Arsenal pada 17 Ogos. – AGENSI/UTUSAN










