Buktikan kalau nak sarung jersi kebangsaan 

Buktikan kalau nak sarung jersi kebangsaan 

Skuad hoki kebangsaan berada di Korea Selatan untuk siri jelajah. - IHSAN KONFEDERASI HOKI MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, Sarjit Singh berharap empat pemain baharu yang dibawa menyertai Jelajah Korea Selatan dapat menambat hatinya untuk diserap dalam pasukan menjelang kempen Piala Negara-Negara, Jun ini.

Empat pemain tersebut adalah Muhammad Arif Syafie Ishak, Abdul Khaliq Hamirin, Naaveennash Panicker dan Muhammad Najib Abu Hassan yang sebelum ini tidak dibawa bersama ketika pasukan mengharungi Jelajah Australia. 

Sarjit yang pernah mewakili negara dalam dua edisi Sukan Olimpik pada 1984 dan 1992 berkata selepas mengharungi enam aksi persahabatan di Australia bersama skuad kebangsaan negara itu dan sebuah kelab tempatan dia sudah mempunyai bayangan pemain skuad utama.

“Bagaimanapun, terdapat empat atau lima posisi yang saya masih lagi tak tahu nak letak pemain yang mana dan disebabkan itulah saya membuat keputusan untuk membawa empat pemain ini ke Korea Selatan.

“Sebelum ini, masa Jelajah Australia mereka tidak sertai kerana kita boleh membawa 22 pemain sahaja jadi, kali ini saya bawa mereka dan lihat apa yang mereka boleh lakukan untuk pasukan.

“Kalau mereka beraksi dengan baik saya akan serapkan ke dalam pasukan bagi menghadapi Piala Negara-Negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sarjit bersama pasukan tiba di Korea Selatan kelmarin bagi mengharungi lima aksi persahabatan bersama skuad kebangsaan negara itu di Pusat Latihan Jincheon bermula hari ini hingga 28 Mei.

Korea Selatan merupakan lokasi terakhir Speedy Tigers melakukan persiapan sebelum mereka mengharungi Piala Negara-Negara di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 15 hingga 21 Jun ini.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama Jepun, New Zealand dan Pakistan manakala Kumpulan A dihuni oleh Australia, Korea Selatan, Afrika Selatan dan Wales. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×