PETALING JAYA: “Bola sepak kita sedang rosak”.
Itu luahkan ketua penyokong skuad kebangsaan Ultras Malaya, Lekir Ahmad yang berasa kecewa dengan pengunduran Kim Pan Gon sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya.
Menerusi satu kenyataan, Lekir yang jelas kecewa dengan situasi melanda kem Harimau Malaya menyifatkan arena bola sepak tempatan berdepan masalah yang besar.
“Tak ada kata apa dah nak ungkap. Sedih yang teramat sangat dengan pengunduran Pan Gon. Kecewa dengan atmosfera bola kita sekarang, bola sepak kita sedang rosak,” kata Lekir.
Kenyataan itu dibuat susulan peletakan jawatan Pan Gon kelmarin atas alasan peribadi dan punca sebenarnya hanya diketahui Presiden Bolasepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd. Amin.
Timbul juga spekulasi Pan Gon ditawarkan kontrak untuk membimbing kelab ternama negaranya, Ulsan Hyundai yang turut beraksi di saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Bagaimanapun, difahamkan ia masih dalam peringkat rundingan selepas bekas ketua jurulatih kelab itu, Hong Myung Bo dilantik menjadi pengendali Korea Selatan pada minggu lalu..
Istilah ‘rosak’ yang dimaksudkan Lekir itu turut mendapat sokongan peminat bola sepak tempatan lain yang jelas kecewa dengan perkembangan semasa sukan tersebut di negara ini.
Ini kerana, ada dalam kalangan peminat yang menyatakan bahawa Liga Malaysia (liga M) turut berdepan masalah khususnya melibatkan isu tunggakan gaji pemain.-UTUSAN










