KUALA LUMPUR: Tindakan pemain sepak takraw berpengalaman negara, Farhan Adam memakai kasut janama ‘Vans’ ketika beraksi di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 mencuri tumpuan peminat sukan berkenaan.
Kasut yang digunakan kapten negara itu ternyata berbeza dengan rakan sepasukan dan juga pemain-pemain dari negara lain yang menggunakan kasut yang sinonim dengan sepak takraw
Bagaimanapun, Farhan yang popular dengan gelaran ‘Emon’ dalam kalangan peminat mengakui beliau tidak menerima sebarang tajaan daripada syarikat kasut berkenaan.
“Saya tidak berniat untuk mempromosi Vans kerana hanya mahu menghargai kaki saya yang telah banyak memberi jasa terutama mencipta kejayaan dalam karier sepak takraw.
“Sebenarnya ada bekas-bekas pemain ‘request’ kepada saya tukar kepada kasut Vans. Lagi, satu mereka juga beri pendapat kepada saya bahawa kaki saya sudah banyak bagi saya rezeki dan banyak bantu saya.
“Saya fikir, ada betul juga katanya. Takkan saya nak pakai kasut biasa-biasa dan saya kena bagi sesuatu yang luar biasa kepada dia (kaki) sebagai penghargaan.
“Pada mulanya, tidak selesa tetapi lama kelamaan saya sudah biasa menggunakannya dan kasut ini juga saya jadikan ‘trademark’ sejak kali saya diturunkan dalam perlawanan,” katanya ketika ditemui di selepas menewaskan India 2-0 sekali gus mara ke pentas separuh akhir.
Ketika ditanya adakah di sedia menerima tawaran Vans untuk menjadi duta, Farhan berkata sekiranya ada tawaran dia akan mempertimbangkannya.
“Kalau ada, syukur Alhamdulilah kerana saya juga tidak ada minta apa-apa dari Vans. Jika ada bersyukur sangat-sangat. Jika Vans bagi peluang kepada saya, saya dengan rela hati terbuka menerimanya. Orang dulu-dulu kata, kecil tapak tangan,nyiru saya tadahkan,” ujarnya.-UTUSAN










