Soon Huat-Shevon juara Terbuka Switzerland

Soon Huat-Shevon juara Terbuka Switzerland

GOH Soon Huat-Shevon Jemie Lai (kanan) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei bersama hadiah kemenangan mereka selepas perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland di St. Jakobshalle, Basel, Switzerland, semalam. - Gambar Instagram Shevon Lai
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga kali mencuba dan akhirnya tuah berpihak kepada beregu campuran Malaysia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai apabila menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland selepas mengetepikan rakan senegara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pada perlawanan akhir di St. Jakobshalle, Basel, Switzerland, awal pagi tadi.

Pasangan No. 14 dunia itu melakar kemenangan straight set 21-16, 21-13 ke atas gandingan negara yang lebih muda, Tang Jie-Ee Wei dalam masa 37 minit.

Soon Huat-Shevon yang merupakan pasangan kekasih kali ketiga mara ke final Terbuka Switzerland, selepas percubaan mereka pada 2022 dan 2023 hanya berakhir selaku naib juara.

Namun kali ini, kemenangan akhirnya menjelma juga buat mereka dan kejayaan tersebut merupakan gelaran ketiga buat Sooh Huat-Shevon yang kali terakhir merangkul kejuaraan ialah pada Terbuka Jerman serta Terbuka Singapura, enam tahun lalu.

Kejayaan merangkul gelaran pada kejohanan berstatus Super 300 itu turut menyaksikan Soon Huat-Shevon menokok 7,000 mata yang bakal melonjakkan kedudukan ranking mereka ke tangga No. 11 dunia.

Sementara Tang Jie-Ee Wei selaku naib juara, mereka menokok 5,950 mata yang akan kekal di kedudukan sama iaitu di tangga No. 9 dunia.
Kejayaan muncul sebagai naib juara merupakan yang kedua buat Tang Jie-Ee Wei bagi musim 2024, selepas mencatat keputusan sama pada Thailand Masters, Februari lepas.

Kemenangan tersebut menyaksikan Soon Huat-Shevon membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$16,590 (RM78,583), manakala Tang Jie-Ee Wei yang muncul sebagai naib juara membawa pulang AS$7,980 (RM37,799). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN