PETALING JAYA: Pakar pukulan sudut penalti Korea Selatan, Jang Jong Hyun berharap dia bukan sahaja dapat membantu Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk bergelar juara Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini, namun turut menyimpan hasrat menjadi penjaring terbanyak liga.
Dua aksi awalnya musim ini tidak begitu memberangsangkan, namun selepas mengharungi tujuh perlawanan, pemain antarabangsa Korea Selatan itu telah pun menjaringkan 13 gol, dengan 12 daripadanya hadir menerusi pukulan sudut penalti.
Gelaran penjaring terbanyak liga bukanlah asing buat Jong Hyun apabila dia pernah meraih anugerah tersebut untuk dua musim berturut-turut pada edisi 2019 dan 2020 ketika beraksi untuk Terengganu Hockey Team (THT).
Untuk musim ini, Jong Hyun perlu berwaspada dengan rakan sepasukannya, Azraai Aizad Abu Kamal telah mengumpul 12 gol untuk perebutan gelaran tersebut.
Azraai yang juga penjaring terbanyak musim lalu sedang menghambat kedudukan Jong Hyun setelah berjaya meledak lima gol ketika membelasah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan keputusan 15-1 pada Ahad lalu.
“Semuanya bergantung kepada baki perlawanan yang ada, jika tiada siapa mampu mengatasi saya sehingga penghujung musim, mungkin gelaran itu (penjaring terbanyak) akan menjadi milik saya.
“Walaupun saya kini berusia 40 tahun, tetapi saya tidak rasa banyak perbezaan dengan pemain-pemain muda lain. Saya masih lagi mampu beraksi seperti mereka dalam liga ini.
“Kalau boleh saya memang mahukan gelaran penjaring terbanyak itu pada musim ini,” jelas Jong Hyun kepada Utusan Malaysia.
TNB yang kini menerajui MHL dengan 17 mata bakal meneruskan kempen liga mereka apabila bakal berdepan Kuala Lumpur City di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil pada hari ini.-UTUSAN










