‘Malam yang amat menyakitkan’

‘Malam yang amat menyakitkan’

PENJAGA gol Perancis, Hugo Lloris tidak mampu menahan kecewa selepas gagal mempertahankan Piala Dunia setelah tewas kepada Argentina pada perlawanan akhir semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUSAIL: Kapten Perancis, Hugo Lloris menyifatkan kekalahan kepada Argentina menerusi penentuan sepakan penalti pada final Piala Dunia 2022 sesuatu yang amat menyakitkan, apatah lagi dia gagal menyelamatkan walau satu pun tendangan lawan.

Penjaga gol berusia 36 tahun itu bagaimanapun bangga dengan semangat juang yang ditunjukkan rakan-rakan sepasukan, terutama persembahan ‘istimewa’ Kylian Mbappe yang meledak hatrik untuk memenangi trofi Kasut Emas penjaring terbanyak.

“Terlalu banyak perkara hebat di atas padang malam ini. (Lionel) Messi dan Mbappe sangat istimewa, mereka berada di puncak prestasi, pemain terbaik. Kedua-dua pasukan juga amat menakjubkan.

“Kalah adalah detik yang amat sukar, saya tidak boleh mencari perkataan untuk menggambarkan perasaan kerana ia terlalu menyakitkan.

“Bagaimanapun kami memberikan tentangan terbaik dari awal hingga akhir kejohanan ini dan kami harus berbangga dengan itu.

“Kami terlalu pasif pada separuh masa pertama, kami membiarkan mereka melakukan terlalu banyak kerosakan tetapi dua kali kami kembali, menunjukkan semangat dan tenaga yang hebat untuk kembali.

“Pasukan mempunyai dua peluang besar walaupun pada 119 minit sebelum masa tambahan dan kemudian lebih menyakitkan untuk kalah,” ujarnya.

Perancis ketinggalan 0-2 pada babak pertama, namua dua jaringan pantas Mbappe pada minit ke-80 dan 81 mengheret permainan ke masa tambahan.

Messi kembali meletakkan Argentina di depan pada minit ke-108, namun Mbappe melengkapkan hatrik menerusi penalti, 10 minit kemudian untuk perlawanan ditentukan menerusi penentuan penalti.

Sementara itu, pengendali Perancis, Didier Deschamps yang membimbing Les Bleus sejak 2012 hanya akan menentukan masa depannya dalam masa terdekat.

Deschamps, 54, sudah tamat kontrak, namun Presiden Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF), Noel Le Graet pernah berkata, dia akan ditawarkan perjanjian baharu jika pasukan itu mara ke separuh akhir.

“Dalam keadaan yang sukar sekarang, saya tidak akan memberi keputusan hari ini. Saya sangat sedih dan akan bertemu Presiden FFF selepas tahun baharu,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.