Piala Dunia 2022 penuh drama, epik, menghiburkan

Piala Dunia 2022 penuh drama, epik, menghiburkan

LIONEL Messi menjulang trofi Piala Dunia bersama rakan-rakan sepasukan selepas membantu Argentina menumpaskan Perancis menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan akhir di Stadium Lusail, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

DOHA: Qatar dipalit kontroversi sebelum Piala Dunia bermula, dari isu hak asasi manusia, tarikh kejohanan (diadakan pada musim sejuk berban­ding panas) sehinggalah kos tinggi yang menyebabkan tidak ramai peminat mampu hadir bersorak untuk pasukan ­masing-masing.

Begitupun penamat edisi ke-22 kejohanan amat sempurna.

Argentina menamatkan penantian 36 tahun dengan menjulang kejuaraan ketiga, mengalahkan Perancis dalam final amat berkualiti, di mana kedua-duanya saling menyerang, mengancam lawan sehingga penentuan sepakan penalti diperlukan untuk menentukan pemenang.

Qatar, negara kecil dengan populasi kurang 3 juta dihambur pujian kerana berjaya me­nganjurkan kejohanan dengan baik. Tiada insiden serius, tiada rungutan daripada pasukan kecuali beberapa isu terpencil yang tidak pun menjejaskan Piala Dunia 2022.

DRAMA, FAKTA MENARIK PIALA DUNIA QATAR 2022

Piala Dunia 2022 dibuka dengan Qatar menjadi pasukan tuan rumah pertama kalah dalam aksi pembukaan, malah tuan rumah pertama tersingkir di peringkat kumpulan hanya selepas dua perlawanan dalam sejarah 92 tahun kejohanan

Penamat Argentina amat sempurna selepas permulaan mereka agak sumbang apabila dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada Arab Saudi. Tidak hanya Argentina, Jerman juga kalah mengejut 1-2 kepada Jepun pada perlawanan pertama.

Isu LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) turut menghangatkan Piala Dunia apabila kapten beberapa pasukan seperti England, Jerman, Belanda dan Denmark mahu memakai lilitan pelangi sebagai tanda sokongan kepada golongan homoseksual biarpun ia bertentangan dengan undang-undang Qatar. Badan bola sepak dunia, FIFA memberi amaran keras kad kuning akan dilayangkan kepada mereka yang degil.

Cristiano Ronaldo menjadi tajuk berita di Qatar selepas jurulatih Portugal, Fernando Santos menggugurkannya daripada kesebelasan utama ketika menentang Switzerland di pusingan 16 akhir dan sekali lagi merehatkannya di suku akhir menentang Croatia.

Pengadil dari Sepanyol, Antonio Mateu Lahoz mencipta rekod apabila melayangkan 19 kad kuning dan satu kad merah dalam pertemuan Argentina menentang Belanda di suku akhir. Lahoz kemudian dihantar ‘pulang’ lebih awal.

Maghribi mencuri tumpuan peminat bola sepak seluruh dunia apabila muncul negara Afrika pertama mara ke separuh akhir, malah mengejutkan gergasi seperti Belgium, Sepanyol dan Portugal dalam perjalanan mereka. Skuad Singa Atlas akhirnya kalah 1-2 kepada Croatia dalam penentuan tempat ketiga.

Piala Dunia Qatar dianggarkan menelan AS$220 bilion (RM975 bilion). Ia 60 kali ganda lebih besar daripada yang dibelanjakan Afrika Selatan ketika menganjurkan kejohanan 2010 AS$3.5 bilion (RM15.52 bilion).

Argentina mengalahkan Perancis menerusi penentuan sepakan penalti 4-2 untuk bergelar juara kali ketiga selepas 1978 dan 1986. Lionel Messi dinobat Pemain Terbaik untuk meraih Bola Emas, manakala Kylian Mbappe yang meledak hatrik buat Perancis memenangi Kasut Emas, penjaring terbanyak (lapan gol).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya