BAGI seorang suri rumah, konsep hiasan dalaman kediaman tidak semestinya terikat kepada satu tema sahaja.
Atas kesedaran itu, Nur Fatin Qurratu Aini Zainal memilih menggabungkan beberapa gaya hiasan mengikut kesesuaian ruang, sambil memastikan setiap sudut rumah mempunyai identiti dan karakter tersendiri.

Di bahagian hadapan rumah, Fatin memilih konsep Paris moden yang menampilkan gaya ringkas, kemas dan elegan.
Susunan perabot yang minimalis digabungkan dengan elemen hiasan terpilih memberi gambaran awal tentang kediaman yang tersusun serta menenangkan sebaik sahaja melangkah masuk.
Ruang tersebut kelihatan lapang dan kemas, menjadikannya selesa untuk didiami dan menyenangkan mata.
Sementara itu, ruang makan keluarga pula diberi sentuhan Paris klasik yang lebih lembut dan romantik.
Pemilihan konsep ini mencerminkan suasana kehangatan serta kebersamaan keluarga dalam menikmati waktu makan bersama.
Perabot dan elemen hiasan berkonsepkan klasik bukan sahaja menambah nilai estetika, malah mewujudkan persekitaran yang tenang dan selesa, sesuai untuk suasana makan yang lebih mesra dan harmoni.
Bagi kawasan hadapan yang sering menjadi tumpuan tetamu, Fatin memilih konsep kafe estetik.
Sentuhan ini menjadikan ruang tersebut kelihatan eksklusif dan mampu menarik perhatian mereka yang berkunjung.
Dari segi pemilihan warna, Fatin gemar mengekalkan warna cerah seperti putih dan krim muda pada dinding rumah.
“Pemilihan ini dibuat kerana keluasan rumah yang sederhana, di mana warna cerah membantu memberi ilusi ruang yang lebih luas dan lapang,” katanya kepada Seri.
Selain itu, pencahayaan semula jadi yang masuk ke dalam rumah turut menjadikan ruang dalaman kelihatan lebih terang dan selesa.

Walaupun menggunakan warna dinding yang cerah, Fatin tidak mahu kediamannya kelihatan kosong atau hambar.
Oleh itu, tona neutral tersebut diseimbangkan dengan perabot dan barangan hiasan yang mempunyai warna tersendiri.
Penggunaan sofa berwarna hijau serta perabot kayu dengan rekaan menarik membantu menyerlahkan elemen hiasan walaupun latar dinding kekal ringkas.
Dalam pemilihan perabot, Fatin turut memberi penekanan kepada aspek fungsi. Baginya, perabot yang cantik sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak praktikal untuk kegunaan harian.
Sebagai contoh, sofa yang digunakan bukan sekadar berfungsi sebagai tempat duduk, malah dilengkapi ruang simpanan tersembunyi di bahagian bawah untuk menyimpan barangan.

Kaedah ini membantu dia dan suami menjimatkan ruang serta mengurangkan keperluan membeli almari atau kabinet tambahan.
Kebanyakan perabot yang dipilih juga mempunyai pelbagai fungsi, sekali gus sesuai untuk rumah bersaiz sederhana dan memudahkan pengurusan ruang dalaman.
Pemilihan warna asas yang neutral turut memudahkan Fatin menyesuaikan hiasan rumah mengikut bajet yang ditetapkan.
Dengan konsep yang ringkas dan fleksibel, beliau boleh menukar atau menambah elemen hiasan dari semasa ke semasa tanpa perlu melakukan pengubahsuaian besar.
Bagi Fatin, pendekatan ini membolehkan kediamannya kekal selesa, kemas dan menarik tanpa mengabaikan keperluan praktikal seisi keluarga.










