Kesetiaan adalah antara kunci yang membawa hubungan suami isteri bertahan sehingga hujung nyawa. Namun bukan semua yang memilih untuk setia apabila salah seorang jatuh sakit atau hadirnya orang ketiga.
Minggu ini saya kongsikan kisah Malek (bukan nama sebenar) yang diuji sakit dan ditinggalkan isteri.
Kisah ini dikongsikan oleh adiknya, Rina (bukan nama sebenar) dalam kiriman e-mel baru-baru ini.
Wanita ini tidak berniat untuk membuka aib keluarga, tetapi lebih kepada pengajaran dan peringatan.
Tulis Rina, dia adalah saksi bagaimana abangnya dilayan oleh isteri yang berubah hati.
“Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ibu dan ayah minta saya tinggal bersama abang.
“Niat mereka supaya saya dapat membantu sedikit sebanyak sambil menjaga abang yang sakit.
“Sejak diserang strok, separuh badan abang lumpuh dan segala-galanya perlu diuruskan oleh orang lain,” tulisnya.
Pada awalnya, Rina kagum dengan kakak iparnya, Shida (bukan nama sebenar) .
Dalam kesibukan bekerja, kakak ipar masih sempat memandikan abang, menyuapkan makanan dan menukarkan lampin .
Tetapi lama-kelamaan kata Rina, dia mula nampak beban yang ditanggung kakak iparnya itu.
Ini selepas hadirnya orang ketiga dalam rumah tangga mereka.
Menceritakan hubungan cinta abang dan kakak iparnya itu, kata Rina, mereka bertemu ketika sama-sama menyertai aktiviti berbasikal hujung minggu.
Abangnya memang minat bersukan. Setiap hujung minggu, abangnya menyertai konvoi berbasikal.
Kakak ipar juga mempunyai minat sama.
Itulah kali pertama mereka bertemu, berbual dan jatuh cinta.
Perkenalan singkat yang hanya terjalin selama tiga bulan itu akhirnya membawa mereka ke jenjang pelamin.
“Shida adalah wanita pertama yang dibawa pulang dan diperkenalkan abang kepada emak ayah.
“Secara luaran saya menyukainya. Pakej lengkap, cantik, bersopan-santun dan berkerjaya,” tulisnya.
Walaupun tidak dikurniakan anak selepas tiga tahun, rumah tangga mereka kelihatan bahagia.
Namun, kata Rina, bahagia di mata orang tidak semestinya kekal bila ujian datang.
Pasangan itu diuji apabila abangnya diserang strok secara tiba-tiba ketika menyertai aktiviti berbasikal.
Daripada seorang yang aktif dan berdikari, abang terlantar.
Segala-galanya perlu bergantung kepada orang lain.
Tulis Rina, mereka sekeluarga sangat terkejut dengan apa yang menimpa abang.
Mereka tidak percaya abang yang selama ini paling sihat antara adik-beradik, menjaga pemakanan, rajin bersenam tiba-tiba jatuh sakit.
“Selain emak ayah, kakak ipar adalah orang paling sedih melihat keadaan abang. Abang hanya mampu berkomunikasi dengan mata dan gerak bibir.
“Kakak ipar ketika itu masih setia di sisi, kelihatan tenang dan tabah,” tulis Rina lagi.
Sejak abang jatuh sakit, kakak ipar menguruskan segala-gala keperluan abang.
Sebelum ke tempat kerja, dia memandikan, menyuap dan memberi abang ubat.
Dalam masa sama kakak ipar bertemu dengan seorang lelaki yang katanya, ‘faham dirinya’.
Pada awalnya mereka hanya berbual soal kerja dan keluarga, tetapi perlahan-lahan perhatian itu berubah menjadi tempat bersandar.
“Nak dijadikan cerita, tempat kerja kakak ipar sama bangunan dengan lelaki itu.
“Ini memberi peluang kepada mereka untuk berhubung dan bertemu lebih kerap,” tulis Rina.
Sejak berkenalan dengan lelaki itu, sikap kakak ipar berubah.
Shida tidak lagi seperti dahulu, lembut tutur kata dan sabar melayan suami.
Hari demi hari hubungan abang dan kakak ipar semakin renggang.
Memasuki lima bulan menguruskan abang, kakak ipar menyatakan hasrat kepada keluarga untuk mengupah seorang jururawat bagi menjaga abang di rumah.
Sejak diurus penjaga, kehidupan kakak ipar menjadi lebih mudah.
Dia tidak lagi terkejar-kejar atau berasa tertekan.
Namun, dalam kelapangan masa dan kurangnya bebanan itu, ujian lebih besar menanti.
Jika sebelum ini fokus untuk menjaga suami sakit, kini perhatian beralih kepada lelaki yang baru dikenali.
Kakak ipar mula kerap keluar pada hujung minggu.
Di hari biasa, pulang lewat dengan alasan kerja lebih masa.
Hakikatnya, kakak ipar menghabiskan masa seharian dengan teman lelakinya.
Tambahnya, Shida juga jarang berbual dengan abangnya. Bercakap hanya sepatah dua kata sahaja.
Pulang dari tempat kerja, kakak ipar hanya sekadar menjenguk, bertanya khabar dan kemudian berlalu.
Rutin kakak ipar hanya berkurung di bilik.
Sejak sakit, abang dan kakak ipar tidur berasingan.
Alasannya, abang perlukan ruang untuk keselesaan.
Di dalam bilik, kakak ipar melayan panggilan teman lelakinya berjam-jam.
Tanpa sedar kata Rina, kakak iparnya sedang melangkah ke hubungan terlarang.
Sementara itu, abangnya yang semakin lemah mulai terganggu emosi.
Menurut Rina, mungkin abang mula perasan perubahan isterinya.
“Abang cepat marah, mudah tersinggung dan kadang kala menjerit.
“Mungkin abang berasa rendah diri dan tidak berguna sebagai suami,” tulisnya.
Kemuncak kepada hubungan mereka apabila kakak ipar meminta cerai.
Rumah tangga yang dibina selama lima tahun akhirnya terlerai selepas abang bersetuju melepaskannya dengan talak satu.
Masa berlalu terlalu pantas.
Sudah 15 tahun, abang bukan lagi lelaki yang terlantar di katil.
“Alhamdulilah, dengan izin Allah, rawatan berterusan, sokongan ahli keluarga, kawan-kawan dan semangat abang sendiri, dia kini mampu berdikari, malah boleh bekerja seperti orang lain,’’ tulisnya.
Pengajaran yang boleh diambil daripada kisah Malek dan Shida adalah tentang ujian perkahwinan itu datang dalam pelbagai cara.
Apabila salah seorang jatuh sakit, pasangan seorang lagi diuji hatinya. Sejauh mana benar-benar setia.
Paling penting bagaimana seseorang itu mahu bangkit semula meneruskan kehidupan.
Sesungguhnya, ujian rumah tangga adalah salah satu cara Allah meningkatkan kedudukan hamba disisiNya.
Sebagaimana Allah SWT berfirman, “Dan sungguh akan Aku berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar,”(al-Baqarah:155).










