PETALING JAYA: Guthrie menafikan dakwaan anak syarikat atau pekerjanya mencetuskan kebakaran hutan di Indonesia selepas pemeriksaan terkini tidak menemukan sebarang bukti yang mengaitkan pihaknya dengan kejadian itu.
Syarikat perladangan itu berkata, pemeriksaan di lapangan juga tidak mengesan sebarang kebakaran aktif di mana-mana ladangnya di negara jiran berkenaan.
Katanya, kerjasama yang diberikan kepada pihak berkuasa untuk memadam kebakaran di luar kawasan operasi tidak seharusnya dianggap sebagai bukti syarikat itu menjadi punca kejadian terbabit.
“Beberapa syarikat yang telah dikaitkan dengandalam laporan awam juga sebenarnya tidak dimiliki, diurus mahupun dikawal oleh Guthrie.
“Sebarang rujukan kepada Guthrie yang bersandarkan maklumat lama atau tidak tepat perlu diperbetulkan bagi mengelakkan kekeliruan,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Guthrie berkata, laporan berkenaan dipercayai menggunakan peta Hak Guna Usaha lama yang tidak menggambarkan status pemilikan atau sempadan operasi semasa syarikat itu.
Katanya, pelbagai langkah pencegahan kebakaran dilaksanakan termasuk pemantauan paras air secara masa nyata, aras air bawah tanah di kawasan gambut, kawalan kelembapan serta program pencegahan bersama masyarakat.
“Sejak 1985, kita telah melaksanakan dasar sifar pembakaran yang ketat di seluruh kawasan operasi, di samping mendukung komitmen pembangunan tanpa penebangan hutan tanpa tanah gambut dan tanpa eksploitasi.
“Apabila kebakaran dikesan dalam kawasan atau berhampiran sempadan operasi Guthrie, kita bertindak serta-merta tanpa mengira punca kebakaran,” katanya.
Menurut Guthrie, anak syarikatnya di Indonesia, Minamas Plantation mempunyai 67 pasukan pemadam kebakaran membabitkan 1,005 anggota terlatih bagi menangani kejadian berkenaan.
Katanya, keupayaan itu turut dilengkapi penggunaan dron dan pemantauan inframerah yang meliputi kawasan konsesi perladangan serta kira-kira 322,000 hektar tanah masyarakat di sekitarnya.
Sementara itu, Guthrie turut menolak dakwaan bahawa pokok kelapa sawit di kawasan kebakaran sudah matang dan perlu ditebang kerana tanaman berkenaan sebenarnya masih muda serta produktif.
“Justeru, tiada keperluan bagi Guthrie membakar kawasan tersebut bagi pembersihan tanah. Profil umur pokok berkenaan juga tidak menyokong dakwaan Guthrie sengaja mencetuskan kebakaran,” katanya.











