PETALING JAYA: Sebanyak 31 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat pukul 11 pagi ini dengan Batu Muda, Kuala Lumpur dan Johan Setia, Selangor merekodkan bacaan tertinggi, masing-masing 173.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Petaling Jaya dan Shah Alam, Selangor turut mencatatkan bacaan 168, diikuti Cheras, Kuala Lumpur (166) serta Nilai, Negeri Sembilan (164).
Putrajaya, Klang, Selangor dan Bukit Rambai, Melaka pula masing-masing merekodkan bacaan 163, manakala Banting, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan mencatatkan bacaan 161.
Beberapa kawasan lain turut berada pada tahap tidak sihat termasuk Paka, Terengganu dengan bacaan 157; Larkin dan Pasir Gudang di Johor (156) serta Tasek Ipoh, Perak (155).
Sementara itu, sebanyak 31 kawasan lagi mencatatkan bacaan IPU pada tahap sederhana, manakala hanya enam kawasan berada pada tahap baik daripada keseluruhan 68 stesen pemantauan di seluruh negara.
Antara kawasan yang merekodkan bacaan sederhana tertinggi ialah Temerloh, Pahang (99); Seri Manjung, Perak (98) dan Taiping, Perak (97).
Bagi kategori baik, Kota Kinabalu, Sabah mencatatkan bacaan 45, diikuti Politeknik Kota Kinabalu (44); Langkawi, Kedah (40); Limbang, Sarawak (39) serta Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, Sarawak (33).
Kimanis, Sabah pula merekodkan bacaan IPU terendah iaitu 27, menjadikannya kawasan dengan kualiti udara terbaik berdasarkan bacaan stesen pemantauan berkenaan.
Mengikut pengelasan IPU, bacaan antara sifar hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 300 (berbahaya). – UTUSAN











