Iran nafi loji nuklear diserang AS - Utusan Malaysia

Iran nafi loji nuklear diserang AS

IRAN menafikan kemudahan nuklear di Isfahan dibom oleh tentera Amerika Syarikat (AS) atau Israel seperti yang tersebar di media sosial. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) di wilayah Isfahan menafikan laporan yang tersebar di media sosial yang mendakwa tentera Israel atau Amerika Syarikat (AS) me­nyerang kemudahan nuklear di wilayah tengah Iran itu.

Unit IRGC wilayah berkenaan dalam satu kenyataan menolak laporan mengenai serangan terhadap pusat dan kemudahan loji nuklear di wilayah tersebut.

“Susulan penyebaran dakwaan palsu di media sosial yang mendakwa tentera AS-Israel menyerang kemudahan nuklear Isfahan, orang ramai perlu dimaklumkan laporan berkenaan sama sekali tidak benar dan tiada serangan oleh rejim Zionis atau AS berlaku terhadap kemudahan nuklear di wilayah itu seperti yang didakwa,” jelas kenyataan itu.

IRGC menyifatkan penyebaran khabar angin sedemikian dalam keadaan sensitif ketika ini sebagai cubaan pihak bermusuhan untuk mencetuskan ke­tegangan, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang awam dan mengganggu ketenteraman psikologi masyarakat.

Ia  turut menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan dakwaan yang belum disahkan, gambar lama dan laporan daripada sumber yang tidak diketahui.

Khabar angin itu tercetus selepas Presiden AS, Donald Trump berkata, Washington mungkin menyerang Gunung Pickaxe di Iran ‘tidak lama lagi’, dalam siri ancaman terbaharunya terhadap tapak bawah tanah dengan kubu pertahanan kukuh itu, yang terletak berhampiran kompleks pengayaan nuklear Natanz.

Tapak pengayaan nuklear di Natanz itu dibom pada Mac dan Jun tahun lalu.

Trump membuat ancaman terhadap Gunung Pickaxe atau lebih dikenali sebagai Gunung Kolang di Iran ketika bercakap kepada wartawan di Pejabat Oval pada Jumaat dengan mendakwa AS mengetahui semua pergerakan di Pickaxe dan di seluruh Iran.

Khabar angin itu tersebar ketika AS dan Iran saling berbalas serangan sejak minggu lalu dalam Perang Asia Barat yang bermula pada 28 Februari apabila Washington bersama rejim Zionis menyerang Teheran sehingga membunuh Pemimpin Tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei.

Trump  juga cuba meremehkan perang di Iran dengan menyifatkannya sebagai ‘perkara kecil’.

Namun pada Sabtu, Washington dan Teheran terus berbalas serangan terhadap kapal, dalam siri baharu pertempuran di kawasan perairan Iran dan Selat Hormuz.

Tentera AS berkata, pihaknya ‘melumpuhkan secara kekal’ dua kapal tangki minyak yang mempunyai kaitan dengan Iran, termasuk sebuah kapal berhampiran Pulau Kharg dan  memusnahkan sepenuhnya sebuah lagi kapal di Teluk Oman.

Markas Pusat AS (CENTCOM) mendakwa tiga kapal tangki minyak Iran yang diserangnya merupakan sebahagian daripada rangkaian bayangan bernilai berbilion dolar yang membiayai IRGC dan sekutu proksinya di rantau ini.

Media kerajaan Iran mengesahkan serangan itu dan berkata, Teheran bertindak balas de­ngan menyerang tiga kapal yang mempunyai kaitan dengan AS.

Iran turut menyerang tiga kapal tangki minyak yang melalui Selat Hormuz menggunakan laluan yang tidak dibenarkan.

Agensi berita separa rasmi Iran, Tasnim, melaporkan empat peluru berpandu AS me­ngenai sebuah kapal tangki di kawasan labuh Pulau Kharg tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Kru kapal tangki yang diserang di Teluk Oman dipindahkan ke daratan menggunakan bot penyelamat. 

Menurut CENTCOM, dua kapal perang AS terlebih dahulu menjadi sasaran serangan Teheran sebelum tentera AS menye­rang tiga kapal tangki minyak yang mempunyai kaitan dengan Iran. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×