KUANTAN: Seorang ahli perniagaan menafikan dakwaan menerima wang dan menawarkan projek palsu seperti yang tersebar melalui sebuah video di platform TikTok, sambil mempertimbangkan tindakan undang-undang bagi melindungi nama baik serta reputasinya.
Pengerusi Muhibah Aset Berhad, Datuk Seri Mohd. Nazrul Izad Mohd. Arsad menegaskan, tuduhan tersebut adalah fitnah yang boleh menjejaskan integriti dan kepercayaan masyarakat terhadap dirinya.
“Saya dengan tegas menafikan dakwaan bahawa saya menerima wang daripada Dr. Mohammad Ali (Datuk Akjan) atau menawarkan projek palsu kepadanya. Dakwaan ini tidak benar dan boleh menimbulkan persepsi negatif dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mohd. Nazrul Izad berkata, sejak 14 Disember 2012, beliau dilantik sebagai Pengurus Projek atau Project Management Consultant (PMC) oleh Koperasi Perumahan Angkatan Tentera.
“Berhubung projek yang dipersoalkan, berdasarkan pengetahuan dan maklumat yang saya miliki, projek berkenaan telah dianugerahkan kepada pihak yang berkaitan. Saya juga menafikan bahawa saya menerima wang daripada Mohammad Ali seperti yang didakwa dalam video tersebut.
“Saya bersedia mengemukakan dokumen berkaitan pelantikan profesional dan projek berkenaan kepada pihak berkuasa atau penasihat undang-undang, tertakluk pada keperluan dan kesesuaian dokumen tersebut,” katanya.
Menurutnya, langkah sewajarnya sedang diambil untuk merekodkan perkara itu dan menyerahkan kepada pihak berkuasa bagi penelitian berdasarkan fakta serta bukti yang sah.
“Saya juga sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang bagi melindungi nama baik dan kepentingan saya. Saya tidak mahu membuat kesimpulan mendahului siasatan, sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menilai,” katanya.
Beliau juga. membuat laporan polis berhubung dakwaan itu di Balai Polis Indera Mahkota di sini hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan secara telus.
Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan dakwaan yang belum disahkan, selain berharap pihak media melaporkan isu tersebut secara seimbang dan profesional.
“Saya tampil bukan untuk mencari permusuhan, tetapi untuk mempertahankan nama baik dan memastikan perkara ini ditangani melalui saluran undang-undang yang betul,” tegasnya. – UTUSAN











