YUEQING: Lima beradik di timur China membina laluan pejalan kaki dengan 430 anak tangga di lereng gunung demi membolehkan ibu mereka yang berusia 86 tahun kembali ke rumah keluarga di puncak gunung itu.
Laluan sepanjang lereng gunung yang mempunyai 11 selekoh di Kampung Yannan, Yueqing, wilayah Zhejiang itu dibina sendiri oleh lima beradik berkenaan dan tular di media sosial sehingga menyentuh hati jutaan pengguna internet.
Pengguna internet China menggelar laluan itu sebagai ‘Tangga Langit Bakti kepada Ibu Bapa’, menurut laporan Chao News.
Wanita warga emas yang tidak didedahkan namanya itu mempunyai tiga anak lelaki dan dua anak perempuan. Anak perempuannya yang berusia 58 tahun, Huang Zhulian berkata, mereka lima beradik dilahirkan dan dibesarkan di rumah keluarga di puncak gunung berkenaan.
Selepas bapa mereka meninggal dunia beberapa dekad lalu, mereka membawa ibu tinggal bersama di kediaman mereka yang terletak di beberapa bandar berbeza.
Bagaimanapun, ibu mereka yang menghabiskan hampir seluruh hidup di kawasan pergunungan itu tidak dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di bandar.
Wanita itu juga perlu pulang ke rumah lamanya setiap tahun ketika Festival Qingming bagi menziarahi dan membersihkan kubur suaminya serta ahli keluarga lain.
Laluan lama menuju ke rumah mereka dipenuhi semak berduri, selain sering menjadi tempat kemunculan ular sehingga menimbulkan kebimbangan Huang dan adik-beradiknya terhadap keselamatan ibu mereka.
Mereka memulakan projek itu pada Ogos lalu dengan memilih untuk meninggalkan laluan lama dan membaik pulih satu lagi laluan di bahagian selatan gunung yang sudah lama tidak digunakan.
Kos pembinaan ditanggung sendiri oleh keluarga itu dan mereka memilih untuk melakukan kerja berkenaan bersama-sama tanpa mengupah kontraktor profesional.
Laluan baharu itu siap dibina pada Oktober selepas dua bulan, namun kos keseluruhan projek tidak didedahkan.
Laluan berkenaan kini bukan sahaja memberi manfaat kepada keluarga Huang, malah turut digunakan penduduk kampung, pengutip herba dan pendaki gunung.
“Ketika kami masih kecil, ibu memegang tangan kami ketika menuruni gunung untuk melihat dunia luar. Kini, apabila ibu sudah tua, kami membina jalan ini. Sudah tiba giliran kami pula memegang tangannya dan membawanya pulang,” kata Huang.-AGENSI








