Iran tuduh Netanyahu cuba 'gunakan' AS elak dipenjara

Iran tuduh Netanyahu cuba ‘gunakan’ AS elak dipenjara

SEORANG penunjuk perasaan mengangkat poster memaparkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sebagai individu 'dikehendaki' semasa protes solidariti Palestin di Berlin, Ogos tahun lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menuduh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, cuba mengheret Amerika Syarikat (AS) ke dalam satu lagi peperangan dengan Iran bagi mengelakkan dirinya dipenjara.

Susulan itu, beliau memberi amaran kepada Washington supaya tidak terperangkap dalam helah Israel dan mengulangi tindakan ketenteraan terhadap Teheran.

“Netanyahu sedang mengheret Amerika ke dalam satu lagi peperangan demi mengelakkan dirinya daripada dipenjarakan,” tulisnya menerusi platform media sosial X kelmarin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau percaya Netanyahu tidak mempedulikan kesan tindakan itu terhadap Israel mahupun sekutunya Presiden AS, Donald Trump.

“Kali terakhir anda mahu ‘menyelesaikan tugas itu’, Iran muncul dengan kekuatan yang lebih besar. Mahu mencuba nasib sekali lagi? Silakan. Namun, berhati-hati kerana kami juga mempunyai urusan yang masih belum selesai,” katanya.

Kenyataan itu dibuat selepas Trump menyatakan sokongan kepada Netanyahu menjelang pilihan raya Israel pada 27 Oktober.

Trump turut memuji kerjasama kedua-dua pemimpin dalam menangani Iran, selain memberi amaran Washington mungkin terpaksa mengambil alih usaha itu sendiri sekiranya rakyat Israel memilih pemimpin lain dalam pilihan raya berkenaan.

“Jika Israel mempunyai pemimpin yang salah, iaitu sesiapa sahaja selain Bibi, Amerika terpaksa melakukan tugas itu sendiri, sedangkan saya tidak cenderung berbuat demikian,” tulis Trump.

Netanyahu mengetuai kerajaan semasa sejak penghujung 2022, yang disifatkan sebagai kerajaan paling berhaluan kanan dalam sejarah Israel.

Beliau turut dibicarakan di negara itu atas tuduhan rasuah yang boleh membawa hukuman penjara jika disabitkan kesalahan, selain menjadi individu dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa sejak 2024 atas dakwaan jenayah perang di Gaza.

Parti-parti pembangkang Israel meningkatkan kerjasama bagi menggantikan kerajaan pimpinan Netanyahu menerusi pilihan raya.- ANADOLU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini