Kertas siasatan Felda berulang kali dirujuk kepada Peguam Negara - Anwar - Utusan Malaysia

Kertas siasatan Felda berulang kali dirujuk kepada Peguam Negara – Anwar

ANWAR Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat. - Gambar JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berkaitan Felda berulang kali telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara sehingga mengambil masa beberapa bulan sebelum tindakan lanjut dapat dilakukan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, proses berulang itu antara faktor yang menyebabkan siasatan mengambil masa, selain keperluan memastikan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara telus dan berdasarkan fakta.

“Dalam kes Felda, kertas siasatan itu ulang-alik kepada Peguam Negara. Saya ingat tiga empat kali. Hantar kepada Peguam Negara, ada perkara yang perlu diperincikan, kemudian dikembalikan semula.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kadang-kadang mengambil masa yang lama. Ada kalanya tiga empat bulan, berulang-alik,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang mempersoalkan mengapa siasatan berkaitan Felda hanya dibuka pada 2026, sedangkan urus niaga yang dipersoalkan didakwa berlaku antara 2010 hingga 2020.

Anwar berkata, kertas putih berkaitan Felda telah dibentangkan pada 2019, namun tindakan lanjut hanya digerakkan selepas kerajaan mengambil alih pentadbiran pada 2022.

Katanya, jawatankuasa dan pasukan petugas khas turut ditubuhkan bagi meneliti isu berkenaan sebelum proses siasatan diteruskan.

“Felda ini memang maklumat dan dimaklum pada Jemaah Menteri, tiada yang menghalang siasatan. Cuma dimintanya siasatan itu biar telus.

“Mengapa kini. Sebenarnya kertas putih 2019. Tetapi tidak ada apa-apa tindakan sehingga kita ambil alih 2022. 2022 barulah saya baru dibuka.

“Sebelum mahu ada apa-apa tindakan, kita buat jawatankuasa dan petugas khas Felda. Dia ambil masa setahun, lepas tu baru dibuka dan kertas siasatan. Jadi tidak ada penangguhan.Cuma masa tu dianggap pasal baru ni.

“Jawatankuasa khas itu dimaklum kepada lembaga itu diwakili oleh ramai orang, semua sedia maklum dan saya kalau di Jemaah Menteri dengan rakan-rakan di menteri itu, mempunyai akses sepenuhnya untuk mendapat maklumat,” katanya.

Beliau menegaskan kerajaan tidak pernah mengarahkan siasatan dihentikan atau melindungi mana-mana individu, sebaliknya menyerahkan proses berkenaan kepada badan penguat kuasa.

“Saya terimalah kalau kadang-kadang dikatakan kelewatan. Tetapi kelewatan itu lebih baik ada tindakan daripada tidak ada tindakan sama sekali,” katanya.

Mengulas dakwaan pendakwaan terpilih, Anwar berkata, perkara itu perlu dibezakan daripada tempoh siasatan yang panjang kerana proses penguatkuasaan bergantung pada hasil siasatan dan penelitian pihak berkuasa.

Beliau turut menjelaskan siasatan berkaitan Tabung Haji diteruskan selepas kerajaan meminta perkara itu dibentangkan kepada Jemaah Menteri, meskipun terdapat permohonan supaya tindakan ditangguhkan bagi membolehkan institusi itu dipulihkan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini